Setiap PBT Melaka perlu ada tandas lima bintang
AYER KEROH 22 September – Kerajaan Negeri menyarankan setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini menyediakan sekurang-kurangnya sebuah tandas bertaraf lima bintang di kawasan pentadbiran masing-masing.
Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, tandas tersebut mestilah diwujudkan di kawasan tumpuan pelancong selaras dengan imej Melaka sebagai negeri pelancongan.
“Pertama kali masuk tandas awam Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) ini, saya lihat ianya memang bertaraf lima bintang dan saya juga difahamkan setiap PBT perlu ada satu tandas bertaraf lima bintang.
“Jika PBT mempunyai bajet lebih, mungkin mereka boleh membina dua atau tiga lagi tandas awam begini di kawasan tumpuan pelancong.
“Di luar negara sudah lama melaksanakan inisiatif ini, saya pernah melawat sebuah negara iaitu di Turki yang mana tandas awam mereka sangat bersih dan tidak berbau langsung,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan World Cleanup Day MPHTJ 2023 mewakili Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin di Tandas Awam MITC, di sini, hari ini.
Hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datin Sapiah Haron dan Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Khairuladha Ab Mutalib.
Mengulas lanjut, Zulkiflee berkata, dengan adanya tandas yang cantik sudah pasti ia dapat mengubah minda masyarakat supaya sentiasa menjaga kebersihan tandas awam.
“Penggunaan barang-barang cantik dan bermutu tinggi akan mengubah pemikiran pengguna sekiranya ingin merosakkan atau mengotorkan tandas awam tersebut,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.