Setahun jadi hamba seks tiga abang dan bapa kandung
KRUBONG 23 April. – Perbuatan durjana seorang bapa bersekongkol dengan tiga anak lelaki merogol dan meliwat anak gadisnya selama setahun terbongkar apabila diberkas polis, semalam.
Bapa dan dua abang serta kakak ipar mangsa ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Tanjung Minyak pada 12.45 tengah malam, diikuti seorang lagi suspek ditahan jam 1.13 pagi di Bemban.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, tangkapan dilakukan susulan laporan dibuat mangsa berusia 18 tahun empat bulan pada 2.59 petang kelmarin, mendakwa dirogol dan diliwat bergilir-gilir oleh abang dan bapa kandungnya pada akhir Februari lalu.
“Sebelum dirogol mangsa dipercayai diberikan minuman yang dicampur dengan bahan disyaki dadah oleh saspek sebelum kedua-dua tangan dan kaki mangsa diikat menggunakan tali rafia di penjuru katil dan mulutnya ditutup dengan pita perekat.
“Pada waktu malam pula mangsa akan dirogol pula oleh bapa kandung dan akan dipukul sekiranya mangsa melawan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Sukri berkata, hasil ujian air kencing ke atas semua saspek mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine.
“Hasil siasatan mendapati kejadian rogol dan liwat berlaku sejak Februari 2020 hingga kejadian terakhir pada hujung Februari 2021 secara bergilir-gilir apabila kesemua suspek dibawah pengaruh dadah,” katanya.
Katanya, semua suspek yang ditahan berusia 23 hingga 48 tahun dan mereka direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376B dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan.
“Seksyen 376B memperuntukkan hukum penjara tidak kurang dari 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan bagi kesalahan rogol sumbang mahram.
“Manakala Seksyen 377C Kanun Keseksaan bagi kesalahan liwat boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun dan sebatan,” katanya.
Dalam pada itu, PDRM Melaka menegaskan pihaknya memandang serius ke atas jenayah terutamanya yang melibatkan kes-kes rogol sumbang mahram dan liwat dan akan mengambil tindakan tegas ke atas pesalah terbabit.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.