SESI TOWNHALL HOTSPOT BANJIR AKAN DIADAKAN DI SETIAP PARLIMEN
LENDU 12 Disember – Kerajaan Negeri akan melaksanakan Sesi Townhall Hotspot Banjir di setiap Parlimen di negeri ini bagi mengenal pasti lokasi yang sering terjejas akibat bencana itu.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, sesi townhall itu bertujuan untuk menyelaras, mendengar dan menyelesaikan isu membabitkan bencana banjir di setiap pelusuk negeri ini.
Katanya, sesi tersebut telah bermula di Parlimen Masjid Tanah dan akan diikuti dengan lima lagi Parlimen dalam Negeri Melaka, di mana ia turut membabitkan agensi-agensi terlibat.
“Di sinilah medannya, saya mengumpulkan setiap masalah yang akan kita selesaikan, projek yang telah dibuat, platform ini kita akan gunakan untuk terangkan kepada masyarakat dan pemimpin-pemimpin masyarakat yang menjadi penghubungi itu sendiri.
“Mungkin selepas ini ke Parlimen Tangga Batu, Jasin dan Kota Melaka, itu belum diputuskan lagi namun kita akan selaraskan bersama wakil-wakil rakyat dan menggunakan medium ‘Wakil Rakyat Untuk Rakyat’ sebagai program utama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sesi Townhall Hotspot Banjir Kawasan Masjid Tanah yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Dewan Japerun Lendu di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh serta ketua-ketua jabatan, agensi dan kenamaan lain.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.