Sesi persekolahan bersemuka bagi calon SPM, SVM tamat lusa
KUALA LUMPUR 7 Feb. – Sesi persekolahan secara bersemuka bagi semua calon Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) 2020 berakhir Selasa ini.
Ini bagi membolehkan pelajar bercuti meraikan Tahun Baharu Cina dan juga membuat persediaan kendiri menjelang peperiksaan sebenar bermula 22 Februari ini.
Menerusi pekeliling bertarikh 4 Februari lalu, Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Habibah Abdul Rahim menjelaskan Kementerian Pendidikan (KPM) bagaimanapun membenarkan pihak sekolah mengadakan kelas tambahan sehingga peperiksaan bermula sekiranya ada keperluan.
“Begitupun kelas tambahan itu perlu mendapat persetujuan ibu bapa, penjaga dan guru.
“Pihak sekolah pada setiap masa mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan wabak COVID-19 dalam kalangan pelajar dan kakitangan sekolah,” katanya seperti dilaporkan akhbar The Star hari ini.
Difahamkan, selain calon peperiksaan, semua pelajar menengah dan murid sekolah rendah diberikan dua hari cuti tambahan bermula 10 Februari ini diikuti cuti umum sempena Tahun Baharu Cina pada 12 dan 13 Februari.
Menurut Habibah lagi, pelajar yang tinggal di asrama sekolah perlu kekal berada di asrama.
Pengecualian diberi kepada pelajar yang ingin menyambut perayaan Tahun Baharu Cina bersama keluarga, yang dibenarkan pulang selepas sesi persekolahan Selasa ini.
“Namun, kebenaran ini tertakluk kepada arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa.
“Pelajar yang kembali ke asrama selepas perayaan Tahun Baharu Cina akan diasingkan selama 10 hari di asrama, sebagai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.
Mereka akan mengambil peperiksaan di bilik khas dalam tempoh tersebut,” katanya menerusi pekeliling yang ditujukan kepada semua Ketua Bahagian dan Pengarah Pendidikan Negeri di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Sementara itu, Habibah berkata, pelajar yang ingin kekal di rumah dibenarkan menduduki peperiksaan sebagai calon menumpang di pusat peperiksaan berhampiran.
“Bagi tujuan itu, ibu bapa atau penjaga perlu memaklumkan perkara ini kepada pihak sekolah selewat-lewatnya 9 Februari ini.
“Pihak sekolah hendaklah memaklumkan perkara tersebut kepada Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan, Jabatan Pendidikan Negeri untuk tindakan lanjut.
“Ini bagi membolehkan urusan peperiksaan dilaksanakan dengan lancar,” katanya
Semalam Media melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Khas Pendidikan Parlimen Malaysia, Datuk Seri Jalaluddin Alias mempersoalkan tindakan KPM menghentikan sesi persekolahan secara bersemuka bagi semua calon SPM dan SVM tahun 2020.
Beliau turut mempersoalkan persediaan calon menjalani peperiksaan kerana sudah lama tidak menghadapi pembelajaran bersemuka tetapi sudah diberi cuti selama 14 hari.