Sorting by

×

SERU SEJARAWAN KAJI SEMULA KISAH KEHEBATAN MELAKA KURUN KE-14

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

BANDA HILIR 21 Februari – Kerajaan Melaka mengalu-alukan para sejarawan untuk mengkaji semula kisah sejarah yang dapat menceritakan kehebatan sebuah bangsa pada kurun ke-14 lalu.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, perkara itu perlu memandangkan sejarah yang ada pada hari ini lebih tertumpu kepada era penjajahan sehingga kurun ke-19.

Jelas beliau, kisah yang kurang diceritakan pada kurun ke-14 wajar dikaji dan diberi pendedahan kepada rakyat khususnya generasi muda supaya mereka dapat menghayati kegemilangan dan kehebatan sebuah empayar Kesultanan Melayu Melaka yang dicemburui suatu masa dahulu.

“Sejarah yang ada pada kita sekarang terhenti kepada kehebatan penjajahan mengurus negara tanpa mengimbau kembali kegemilangan sebuah kerajaan yang telah runtuh dan dijajah sejak kurun ke-15.

“Kita mahu rakyat tahu dan mengambil inspirasi kegemilangan zaman Kesultanan Melayu Melaka pada kurun ke-14 sehingga kita dicemburui oleh Barat menyebabkan kita dijajah dan dipisah-pisahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Rapat Umum Bahtera Merdeka sempena Sambutan Hari Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu di hadapan Muzium Belia, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, di bawah pentadbiran beliau, Kerajaan Negeri akan terus memperbanyakkan pengisian kisah-kisah sejarah yang menggambarkan kehebatan empayar Melaka yang suatu masa dahulu untuk tatapan generasi masa kini.

Usaha itu, ujar beliau dapat membantu generasi akan datang untuk terus mempertahankan kemerdekaan yang dikecap selama ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

124
Kongsi :
Previous post MELAKA TUAN RUMAH SAMBUTAN HARI RAYA MADANI 2025
Next post MASUK PERCUMA : OKU PILIH MUZIUM UNTUK KENANG SEJARAH MELAKA