SERLAH BAKAT, POTENSI MURID TADIKA JAIM

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

TANJUNG BIDARA 26 Oktober – Semua murid perlu diberikan ruang dan dorongan untuk mengembangkan lagi bakat serta potensi mereka, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri berkata, penglibatan aktif murid dalam aktiviti kokurikulum bukan sahaja dapat mencungkil bakat baharu si cilik sebaliknya membina kecergasan mental dan ketangkasan fizikal, selain memberi pendedahan awal kepada anak-anak untuk memupuk semangat kesukanan serta kerjasama dalam satu pasukan.

“Justeru, saya meminta kepada para guru dan ibu bapa agar sentiasa menggalakkan anak-anak untuk bergiat cergas dalam aktiviti kokurikulum kerana ini adalah platform terbaik bagi mengukur perkembangan potensi awal kanak-kanak.

“Selain itu aktiviti seperti ini adalah medan untuk kita menggilap bakat mereka khususnya dalam bidang sukan,” kata Ketua Menteri ketika berucap merasmikan  Kejohanan Sukaneka Tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Peringkat Negeri Melaka di Padang Bola Sepak Seri Jeram, Masjid Tanah, hari ini.

Hadir sama Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta Pengarah JAIM, Datuk Badaruddin Mohd Kassim.

Acara berkenaan dijayakan hasil komitmen Bahagian Pendidikan JAIM dengan kerjasama Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

Ab Rauf yang  juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, disiplin gaya hidup harian yang disulami aktiviti bersukan amat penting bagi melahirkan individu memiliki akal yang cerdas dan menikmati kesejahteraan melalui kesihatan berkualiti.

“Sejak dari awal saya sampai sini tadi, saya berasa cukup bertuah dan teruja melihat gelagat 960 orang anak-anak Tadika 5 dan 6 tahun daripada lapan zon mengikut setiap daerah di Melaka yang begitu bersemangat untuk bersukan pada hari ini.

“Sebanyak 12 acara dipertandingkan untuk anak-anak Tadika JAIM mengikut kategori umur masing-masing, saya difahamkan ada juga aktiviti untuk para ibu bapa yang hadir bagi memperkukuh semangat keharmonian
di samping memupuk perpaduan dalam kalangan ibu bapa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

122
Kongsi :
Previous post KEBAJIKAN WARGA EMAS, ANAK ISTIMEWA MELAKA JADI TUMPUAN 2025
Next post TAK LOKEK ‘MELABUR’ DEMI KECEMERLANGAN ANAK MELAKA
Ubah saiz-+=