Sorting by

×

Serbuan gempur ‘Geng Nicky’ dibuat mengikut SOP PDRM- Ayob Khan

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

JOHOR BAHRU 17 April. – Polis Diraja Malaysia hari ini menegaskan serbuan Ops Pelican 3.0 yang dilakukan di Trigon Residence Setiawalk, Puchong, Selangor pada 20 dan 21 Mac lalu bagi menggempur kumpulan jenayah terancang ‘Geng Nicky’, dijalankan mengikut prosedur operasi standard pasukan.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, semasa serbuan itu dilakukan, sebanyak 45 unit kondominium telah digeledah dengan cara memecahkan tombol pintu dan penggeledahan dibuat berdasarkan maklumat risikan dan atas sebab-sebab yang munasabah.

Ini termasuk selepas polis mengesyaki kondominium terbabit menjadi tempat persembunyian geng berkenaan dan menyimpan dokumen atau harta-harta terlibat.

“Serbuan dan penggeledahan juga mematuhi peruntukan undang-undang Kanun Tatacara Jenayah dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012,” katanya dalam kenyataan di sini.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai menjawab luahan penduduk kondominium tersebut berkaitan kerosakan di kediaman mereka susulan serbuan berkenaan.

Serbuan itu membabitkan 220 pegawai dan anggota polis daripada pelbagai jabatan, melibatkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dan Pasukan Gerakan Am Batalion 4, Cheras, Kuala Lumpur.

Geng Nicky dipercayai diketuai oleh seorang lelaki tempatan bergelar ‘Datuk Seri’, dikenali Nicky Liow Soon Hee, 33, yang kini dalam buruan polis kerana disyaki terbabit dalam pelbagai jenayah terancang seperti penipuan dan pengubahan wang haram.

Liow juga adalah pengasas Winner Dynasty Group yang berpusat di Setiawalk, Puchong.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

348
Kongsi :
Previous post Petugas kesihatan yang divaksinasi alami gejala kurang teruk apabila dijangkiti COVID-19
Next post 438,220 individu sudah lengkapkan vaksinasi COVID-19
Ubah saiz-+=