Sorting by

×

Serang pos kawalan di Gerik, bekas tentera mati ditembak-Ketua Polis Perak

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

IPOH 9 Mei. – Seorang lelaki mati ditembak selepas dia yang bersenjatakan parang cuba menceroboh pos kawalan Batalion ke-4 Regimen Sempadan di Gerik dan bertindak agresif dalam kejadian petang semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata dalam kejadian 6.45 petang itu, lelaki berusia 35 tahun tersebut cuba menceroboh ke kawasan batalion dengan memanjat pagar pintu hadapan.

“Lelaki tersebut kemudiannya telah diberikan amaran oleh anggota tentera yang berkawal di pos pengawal pintu hadapan berkenaan namun lelaki itu telah bertindak agresif dengan menyerang menggunakan senjata yang dibawa.

“Dalam pergelutan itu, anggota tentera telah melepaskan tembakan dan mengenai lelaki tersebut yang kemudiannya dibawa ke Hospital Gerik oleh pihak polis sebaik dimaklumkan, namun disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mior Faridalathrash berkata siasatan lanjut mendapati lelaki tersebut merupakan bekas tentera yang ditamatkan perkhidmatan pada 2013 kerana mempunyai masalah kesihatan mental.

Katanya siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan pihaknya juga telah merampas beberapa barang berkaitan kes tersebut.

“Kami masih menunggu laporan bedah siasat forensik yang akan dilakukan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. Kes disiasat di bawah Seksyen 9 Akta Kawasan Larangan Tempat Larangan 1959.

“Kertas siasatan akan dilengkapkan untuk dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara bagi tindakan selanjutnya. Kami harap tiada sebarang spekulasi oleh orang ramai sehingga menjejaskan siasatan berkenaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1607
Kongsi :
Previous post 14 rangkaian AEON disanitasi
Next post Maqis tahan kontena bawa 24,945 kilogram makanan haiwan dari Turki, Perancis
Ubah saiz-+=