Seramai 6,499 suri rumah carum SKSSR setakat September

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 24 September – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) negeri optimis mampu mencapai sasaran sehingga 15,000 pencarum Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) menjelang hujung tahun ini.

Pengarah PERKESO negeri, Abd Razak Omar berkata setakat 10 September lalu, seramai 6,499 suri rumah telah mencarum SKSSR di negeri ini.

Katanya, pihak PERKESO negeri kini giat melaksanakan pelbagai program dan aktiviti untuk menarik lebih ramai kaum wanita di negeri ini untuk mencarum SKSSR tersebut.

“SKSSR terbuka kepada semua golongan wanita yang menguruskan rumah tanpa mengira sudah berkahwin atau belum, ibu tunggal, yang sudah bercerai dan mestilah berusia di bawah 55 tahun.

“Menerusi SKSSR ini PERKESO beri manfaat perlindungan bencana domestik iaitu faedah perubatan, hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, kemudahan pemulihan jasmai atau dialisi, faedah pengurusan mayat dan pencen penakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Pemimpin Bersama Masyarakat SKSSR di Wisma PERKESO di sini hari ini yang turut dihadiri Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abd Halim.

Mengulas lanjut, Abd Razak berkata pihaknya turut meluaskan hebahan caruman SKSSR kepada suri rumah dalam kalangan masyarakat Orang Asli di negeri ini.

“Kita telah merangka aktiviti dan program untuk mendekati dan menarik suri rumah dalam golongan Orang Asli untuk mencarum dalam SKSSR ini.

“Kita akan tumpu golongan Orang Asli di kawasan Machap dan perkara ini masih diperingkat perbincangan dan perangkaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1200
Kongsi :
Previous post 140 suri rumah terima SKSSR PERKESO
Next post Pencemaran bau di Pantai Puteri terkawal
Ubah saiz-+=