Serah sendiri ganja di SJR
JASIN 13 Sept – Gara-gara panik diperiksa polis, seorang pemandu treler menyerahkan sendiri ketulan ganja bernilai RM1,000 sebelum ditahan di susur keluar Plaza Tol Lipat Kajang, dekat sini, kelmarin.
Suspek berusia 53 tahun yang memandu treler muatan cermin itu bagaimanapun ditahan anggota polis yang menjalankan sekatan jalan raya (SJR) di plaza tol berkenaan pada jam 6.30 petang.
Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Deputi Superintendan Mohd Akmal Abdullah berkata, ketika kejadian suspek yang memandu treler sendirian dalam perjalanan dari Jasin menghala ke Klang, Selangor.
Katanya, apabila disoal siasat ketika melalui pemeriksaan polis di plaza tol berkenaan, suspek mengaku ada menyimpan ganja berkenaan.
“Ketika pemeriksaan, suspek mengambil satu kotak kertas kecil dari bahagian ruang rehat di belakang kerusi pemandu sebelum menyerahkannya kepada anggota polis.
“Hasil pemeriksaan terhadap kotak berkenaan menemukan satu ketulan tumbuhan kering dadah dipercayai ganja seberat 600 gram, dianggarkan bernilai RM1,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata ujian saringan mendapati suspek positif dadah jenis ganja namun tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Suspek direman tujuh hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.