Serah kepada Speaker tentukan status Jailani

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

KUALA LUMPUR 19 Julai – Kerajaan Negeri dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka akan meneliti secara lebih lanjut kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis yang diumumkan sudah berhijrah ke parti PAS.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pentadbiran beliau mengambil maklum keputusan Adun Rembia itu yang mendakwa telah menerima surat lantikan rasmi menyertai parti PAS sejak 10 Jun 2023 seperti mana yang telah diumumkan pada satu sidang media Perikatan Nasional (PN) di Parlimen pada 16 Julai lalu.

Menurutnya, berpandukan undang-undang dan Peraturan perkara  itu akan diteliti daripada dua sudut berbeza iaitu melalui perlembagaan parti sebagai wakil rakyat yang mewakili parti serta Kerajaan Negeri sebagai Adun, sebelum memuktamadkan sebarang tindakan susulan.

Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri juga akan mengkaji kenyataan dibuat Muhammad Jailani, termasuk dakwaan sudah mengisytiharkan dirinya menyertai parti PAS pada Jun tahun lalu.

“Ini termasuklah melakukan semakan sama ada tindakan Muhammad Jailani menyertai parti PAS terkait dengan Akta Anti Lompat Parti diluluskan pada Persidangan DUN Melaka pada 31 Julai tahun lalu.

“Daripada sudut parti, tindakan dibuat oleh Adun Rembia ini akan memberi implikasi susulan ‘akujanji’ yang ditandatangani semasa bersetuju untuk menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Melaka Ke-15 yang lalu.

“Beliau perlu menanggung segala kos-kos ganti rugi yang diberikan kepada calon atas nama parti dengan jumlah Kos yang diambil kira munasabah,” katanya pada sidang media khas di sebuah hotel di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama pada sidang media khas itu Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azhar Arshad, barisan Exco Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka, Datuk Abdul Aziz Engan.

Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri tidak mahu isu ini terus dibesar-besarkan kerana komitmen pentadbiran beliau ketika ini adalah untuk mengembalikan kegemilangannya Melaka sebagai pusat perindustrian, perdagangan, pertumbuhan ekonomi dan pelancongan tersohor di dunia.

Menurutnya, Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, fokus kepimpinan Kerajaan Perpaduan adalah mensejahterakan kehidupan rakyat Negeri Melaka tercinta.

“Kepimpinan saya sentiasa memberi keutamaan untuk membangunkan Negeri Melaka dalam pelbagai sektor, demi menunaikan amanah yang telah diberikan oleh rakyat.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YB (Yang Berhormat) Datuk Muhammad Jailani Khamis kerana telah berkhidmat bersama UMNO selama lebih setahun di bawah pimpinan saya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

161
Kongsi :
Previous post Istiadat pertabalan: Agong sertai ribuan jemaah dengar khutbah Jumaat khas
Next post PERZIM suburkan seni sulaman manik, labuci
Ubah saiz-+=