‘SEPIT BIRU’ TINGKAT EKONOMI NELAYAN MELAKA
AYER LIMAU 13 Januari – Pelepasan 3 juta benih udang galah di perairan umum negeri ini dapat memangkin ekonomi dan pendapatan nelayan.
Pengarah Perikanan Melaka Saufi Affandi Talib berkata, untuk Januari tahun ini sahaja, lebih satu juta benih udang galah telah dilepaskan meliputi 100,000 di Sungai Paya Lebar; 400,000 di Sungai Ramuan China Kechil dan masing-masing 300,000 benih udang di Sungai Gangsa dan Laman Belia, Sungai Rambai.
“Kita lihat kawasan Paya Lebar ini menjadi tumpuan para pemancing udang galah yang mana ia turut menjadi destinasi pelancongan di Melaka bagi sektor agropelancongan.
“Selain hasil tuaian udang galah yang diperolehi nanti, nelayan juga boleh mendapat manfaat menerusi penyewaan bot-bot mereka kepada kaki pancing,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Program Pelepasan 1.1 Juta Benih Udang Galah ke Perairan Umum di Jeti Pangkalan Nelayan Paya Lebar, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Saufi Affandi berkata penguatkuasa Jabatan Perikanan Negeri juga sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan ekosistem di perairan Melaka terjaga.
“Anggota penguatkuasa kita sentiasa membuat pemantauan sama ada di laut mahupun sungai.
“Walaupun kehadiran kita tanpa disedari oleh mana-mana pihak, memang ada kes yang kita sudah buat tangkapan terutama membabitkan aktiviti tangkapan yang menyalahi undang-undang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.