Sepak takraw Melaka raih pencapaian terbaik di SUKMA XXI

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 17 Ogos – Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak menjadi saksi kebangkitan Melaka sebagai antara kuasa hebat dalam sukan sepak takraw apabila berjaya mengakhiri saingan di kedudukan empat terbaik dalam acara berpasukan lelaki.

Kontinjen sepak takraw Melaka melakar sejarah apabila berjaya mara ke peringkat separuh akhir, sebelum tewas di tangan Pulau Pinang yang menampilkan tiga pemain negara untuk mara ke final.

Pada aksi penentuan pingat gangsa pula, skuad sepak takraw Melaka berjuang bermati-matian, namun tewas tipis 1-2 kepada Terengganu.

Pengurus Pasukan Sepak Takraw SUKMA Melaka Senator Datuk Mustafa Musa berkata, kejayaan itu disifatkan cukup membanggakan bagi Negeri Melaka sejak tahun 2004 apabila berjaya mara ke peringkat separuh akhir.

Katanya, kesemua pemain telah menunjukkan semangat juang cukup tinggi sepanjang acara tersebut yang berlangsung di Stadium Muhibah Bintulu, Sarawak.

“Walaupun terlepas pingat dalam acara berpasukan, namun apa yang lebih penting adalah Melaka berjaya ke peringkat empat terbaik dan mengenepikan cabaran beberapa pasukan pilihan seperti Kuala Lumpur, Johor, Sarawak, Sabah, Pahang dan Kelantan.

“Kini, para pemain berazam dan mahu terus berjuang menghadiahkan butir pingat kepada Melaka dalam tiga lagi acara iaitu regu, beregu dan quadrant yang bermula petang ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Mustafa, kejayaan atlet sepak takraw Negeri Melaka turut mendapat pujian dan ucapan tahniah daripada bapa angkat sukan berkenaan Dr. Muhamad Akmal Saleh dan Yang Dipertua Persatuan Sepaktakraw Melaka (PASTAM) Datuk Akramuddin Abd Aziz.

Untuk rekod, skuad sepak takraw SUKMA Melaka dibimbing Ketua Jurulatih, Khairul Anuar Ibrahim dan dibantu penolong jurulatih Ahmad Affenday Mohamed Sani, selain penolong pengurus pasukan Mohd Kamarudin Kasim yang juga Setiausaha PASTAM.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6155
Kongsi :
Previous post Didik generasi muda etika, tanggungjawab penggunaan teknologi
Next post PM kesal langkah bawa rakyat Palestin cedera untuk rawatan dikritik
Ubah saiz-+=