
SEORANG MAUT, LIMA CEDERA DALAM KEBAKARAN RUMAH SEWA DUA TINGKAT
BANDA HILIR 21 Mac – Seorang lelaki maut, manakala lima lagi cedera dalam kebakaran di sebuah rumah teres dua tingkat di Lorong Banda Hilir 3, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi tadi, mangsa yang maut adalah Tan Kim Hock, 59 yang mengalami kecederaan melecur 60 peratus di bahagian badan.
Manakala mangsa yang cedera adalah berusia empat lelaki dan seorang wanita berusia 76, 65, 61, 50 dan 38 tahun.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kebakaran itu disedari jiran mangsa yang terdengar bunyi berhampiran rumah sebelum menyedari ruang tamu rumah berkenaan sedang terbakar, lalu bertindak menghubungi pihak bomba dan polis.
Jelasnya, siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai berpunca dari tempat sembahyang yang ditempatkan di bahagian ruang tamu yang juga pintu utama rumah.
“Lokasi kejadian merupakan rumah sewa yang dihuni empat lelaki warga tempatan, seorang lelaki warganegara China dan seorang wanita.
“Semua penghuni dipercayai sedang tidur di tingkat atas yang menempatkan tiga bilik tidur dan ketika kejadian kesemua mereka terperangkap di bahagian atas rumah memandangkan tangga laluan ke bahagian bawah tidak dapat dilalui berikutan api sedang marak,” katanya.
Beliau berkata, kesemua mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Melaka kerana mengalami kecederaan di saluran pernafasan, selain melecur di beberapa bahagian badan dan kini dilaporkan stabil.
Jelasnya, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengetahui punca sebenar kebakaran.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.