Senyuman Tun Dr. Mohd Ali beri aura positif

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 24 Ogos – “Sentiasa berpakaian kemas dan murah dengan senyuman merupakan satu aura positif dipamerkan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam”.

Itu kata, B. Dhanesh, 32, ketika diminta mengulas mengenai keperibadian Tun Dr. Mohd Ali Rustam sepanjang beliau menjadi pemimpin di Negeri Melaka.

Menurutnya, Tun Dr. Mohd Ali adalah seorang pemimpin yang tidak pernah melupakan janji temu bersama rakyat walaupun sibuk dengan tugasan hakiki sebagai seorang pemimpin negeri.

“Saya mengenali beliau sewaktu beliau menjadi Ketua Menteri Melaka lagi, ciri-ciri beliau ketika itu adalah menepati janji temu dan memastikan ia tidak ditangguhkan.

“Biarpun ada lebih 20 janji temu tetapi beliau akan selesaikan semuanya tanpa menangguhkan atau mengecewakan mana-mana pihak.

“Selain bekerja keras, beliau sentiasa memastikan pakaian dan rupanya kemas serta sentiasa tersenyum yang memberikan satu aura positif kepada sesiapa yang melihatnya,” katanya.

Bagi Nur Azeera Jamaluddin, 35, Tun Dr. Mohd Ali adalah seorang figura yang berpendirian dan tegas dalam setiap perkara yang dilakukan.

“Beliau sentiasa berusaha memajukan Negeri Melaka dan sehingga sekarang apabila dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka, beliau sentiasa cakna terhadap pembangunan dan keharmonian masyarakat.

“Lebih menarik beliau tidak pernah lekang daripada memberikan senyuman kepada orang ramai tidak kira di mana beliau berada,” katanya.

Muhammad Irwan Abu Chek, 31, pula berpandangan Tun Dr. Mohd Ali adalah pemimpin yang telah mencorakkan Melaka yang ada sekarang.

“Beliau membangun dan mewajah Melaka daripada pelbagai aspek, biarpun diuji dalam pergolakan politik beliau tidak mudah gopoh dan cuba meredakan ketegangan yang berlaku.

“Beliau seorang pemimpin berjiwa rakyat, walaupun bergelar Yang di-Pertua Negeri, namun beliau tidak kekok untuk memenuhi segala undangan rakyat di pelbagai majlis keraian.

“Tun Dr. Mohd Ali juga adalah pemimpin yang mementingkan perpaduan seperti mengambil inisiatif menganjurkan Pertandingan Pidato Rukun Negara Piala TYT Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

177
Kongsi :
Previous post Sambutan Merdeka Melaka bawa konsep bijaksana, berani
Next post 80 peniaga terjejas ribut, MBMB ambil tindakan pantas bantu pembersihan
Ubah saiz-+=