
SENTUHAN RAMADAN BUKIT KENYALANG GROUP
KOTA LAKSAMANA 26 Mac – Syarikat berkaitan hartanah, pembangunan dan perhotelan, Bukit Kenyalang Group buat julung kalinya menganjurkan program kemasyarakatan dengan menyantuni anak yatim dan warga emas di negeri ini.
Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dinamakan ‘Sentuhan Ramadan, Berkat Dikongsi’ itu meraikan anak-anak yatim dari Rumah Kasih Tun Abdul Aziz dan warga emas dari Rumah Seri Kenangan, Cheng.
Pengarah Bukit Kenyalang Group Ronald Heng Aik Leong berkata, program tersebut diadakan bertujuan menyantuni golongan kurang bernasib baik serta menyemarakkan semangat Ramadan dengan tema kasih dan sayang.
Jelas beliau, program tersebut juga merupakan sebahagian daripada usaha syarikat itu untuk berkongsi rezeki dengan masyarakat yang memerlukan di negeri ini.
“Sebagai syarikat pemaju hartanah, kami percaya kejayaan kami bukan hanya diukur dari segi keuntungan, tetapi juga sejauh mana kami dapat membantu masyarakat.
“Apa yang kami peroleh, wajar untuk kami pulangkan kepada rakyat, terutama golongan kurang bernasib baik,” katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan yang diadakan di Hotel Marvelux, di sini.
Menurutnya, bagi melancarkan majlis tersebut, seramai 10 warga kerja Bukit Kenyalang Group turut bersama berganding bahu dalam menjayakan majlis penyampaian sumbangan dan berbuka puasa itu.
Beliau turut merancang menjadikan program itu sebagai acara tahunan dengan memilih rumah kebajikan dan anak yatim berbeza pada setiap tahun.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.