Sorting by

×

SENTUHAN KASIH 562 CALON SPM, STPM MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

ALOR GAJAH 15 November – Seramai 562 pelajar sekolah di negeri ini diraikan menerusi Program Sentuhan Kasih Ketua Menteri Melaka Bijak SPM dan STPM, hari ini.

Daripada jumlah itu seramai 312 pelajar adalah calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan 250 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun 2024.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata program diadakan selama tiga hari itu bagi meningkatkan kefahaman dan teknik menjawab soalan calon peperiksaan dengan lebih sistematik.

“Ia juga menyuntik semangat dan motivasi pelajar sekali gus melahirkan pelajar yang cemerlang dan berketerampilan daripada sudut akademik serta sahsiah.

“Diharap program ini menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti peperiksaan SPM dan STPM Negeri Melaka bagi Tahun 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada penutup program berkenaan di Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Chemical and Bioengineering Technology (UniKL MICET) Alor Gajah di sini, hari ini.

Program berkenaan dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin dan lain-lain kenamaan.

Rahmad berkata program itu diharap dapat meningkatkan pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) dan Peratus Layak Menerima Sijil Negeri Melaka tahun hadapan.

“Negeri Melaka menunjukkan peningkatan GPN sebanyak 0.18 berbanding tahun sebelumnya (2023). Manakala, peratus layak menerima sijil dan kualiti A juga meningkat sebanyak 1.33 peratus dan diikuti dengan 0.81 peratus.

“Ini membuktikan pendidikan bukan sahaja mampu menjadi alat berkesan dalam membantu mengeluarkan anak-anak daripada lingkaran kemiskinan, tetapi mampu menjadikan Melaka negeri berdaya maju pada masa hadapan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

261
Kongsi :
Previous post KERANA KASIHNYA IBU…
Next post NGO JADI SALURAN HEBAHAN AGENDA PEMBANGUNAN MELAKA
Ubah saiz-+=