Sorting by

×

Sentimen pelabur asing tetap teguh meskipun Malaysia dilanda COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

KUALA LUMPUR 1 Mac. – Ekonomi negara mencatatkan prestasi membanggakan dengan pasaran bon menunjukkan aliran masuk yang tinggi, pelaburan asing kekal positif dan ringgit muncul sebagai antara mata wang paling kukuh di Asia Tenggara meskipun negara dilanda pandemik COVID-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, prestasi itu menunjukkan keyakinan pelabur asing dalam pasaran Malaysia tetap teguh.

Beliau berkata pasaran bon mencatatkan aliran masuk sebanyak RM23.1 billon sehingga Ogos 2020 dan pelaburan asing bersih meningkat kepada RM6.1 bilion pada suku keempat 2020 berbanding RM2.2 bilion dicatatkan pada suku kedua 2020.

“Antara faktor yang menyokong keyakinan pelabur luar ini ialah usaha giat kerajaan untuk mengadakan libat urus dengan pelabur sedia ada bagi memahami kehendak industri dalam tempoh pelaksanaan kawalan pergerakan.

“Selain itu, usaha-usaha untuk menarik pelaburan tambahan dan baharu juga sentiasa giat dijalankan,” kata beliau dalam Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin yang disiarkan secara langsung hari ini.

Muhyiddin seterusnya berkata setelah mengharungi segala cabaran pada tahun 2020, kerajaan bertekad untuk memacu pemulihan ekonomi dengan lebih rancak pada tahun 2021 demi kesejahteraan rakyat.

Beliau menambah walaupun aktiviti ekonomi akan dibuka, kawalan pergerakan masih diperlukan termasuk kawalan sempadan antarabangsa, kawalan pergerakan merentasi negeri dan juga aktiviti sosial dan perniagaan di mana penjarakan sosial tidak dapat diamalkan.

Perdana menteri juga berkata kerajaan akan merangka empat langkah tambahan dalam tempoh terdekat.

“Pertama, menyediakan bantuan secara bersasar kepada kumpulan rentan, terutamanya golongan miskin serta golongan yang mengalami kehilangan pendapatan.

“Kedua, meningkatkan sokongan kepada perniagaan, khususnya perniagaan yang masih tidak dapat beroperasi dan perniagaan yang sedang dalam proses pembukaan semula pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ketiga, memberi tumpuan kepada sistem penyampaian awam, terutamanya bagi memastikan bantuan sampai kepada semua yang memerlukan, menyegerakan pelaksanaan projek pembangunan serta mengurangkan karenah birokrasi supaya aktiviti ekonomi kembali rancak sehingga ke peringkat akar umbi dan menggalakkan pelaburan baharu dari dalam dan luar negara.

“Keempat, memberi fokus utama kepada agenda pendigitalan selaras dengan pertumbuhan sumber kekayaan baharu dan transformasi ekonomi negara dalam aktiviti yang berasaskan pengetahuan dan inovasi,” jelas beliau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1279
Kongsi :
Previous post Kerajaan gubal strategi COVID-19 berdasarkan data
Next post Kerajaan tumpu pelaksanaan dasar pendidikan digital
Ubah saiz-+=