Sensasi anggur ‘made in’ Ramuan Cina Besar
AYER LIMAU 21 Mac – Pernah jatuh ‘terduduk’ apabila tanaman pokok tin yang diusahakan musnah sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lalu, namun ia tidak mematahkan semangat tiga beranak untuk terus berjaya dalam bidang pertanian.
Dol Malek Md Sap, 57, berkata, hikmah daripada kegagalan itu, dia bersama isteri, Maizah Jalil, 55, dan anaknya, Dzarul Hakim, 27, kini beralih kepada penanaman anggur yang semakin membuahkan hasil.
Katanya, meskipun masih belum mampu memasarkan anggur secara komersial, namun, mereka sudah berjaya meraih keuntungan membanggakan hasil jualan anak pokok anggur.
Berkat komitmen dan kesabaran mereka memperkenalkan tanaman anggur kepada anggota komuniti, ujarnya, kini anggur yang diusahakan itu mendapat tempat di pasaran terutama mereka yang mencintai bidang penanaman pokok hiasan dan buah-buahan.
“Tanaman itu kami usahakan di lima Rumah Lindungan Hujan (RLH) di Kampung Ramuan Cina Besar yang kami bina dengan dengan kos RM100,000. Setiap satu RLH berukuran 6 x 15 meter dan dengan ketinggian lima meter.
“Sejak 2010, kami mengusahakan tanaman pokok tin di RLH itu, namun semuanya musnah akibat PKP 1.0 kerana kami sekeluarga yang tinggal di Kajang tidak dapat pulang ke kampung, selain tiada siapa mampu membantu menjaga pokok tin pada waktu itu.
“Namun, rentetan itu kini kami beralih kepada penanaman anggur dan alhamdulillah, hasil menimba ilmu melalui pembacaan buku dan bahan dalam internet, tanaman anggur ini mula menampakkan hasil,” katanya katanya ketika ditemui di ladang anggurnya di kampung berkenaan hari ini.
Sementara itu, anaknya Dzarul Hakim yang bertugas sebagai akauntan berkata, setakat ini mereka masih dalam peringkat mencuba menanam pelbagai jenis anggur seperti jupiter, ninel dan velles yang masing-masing berbeza warna dan rasa.
“Jupiter berwarna merah hati kehitam-hitaman mananakala ninel merah pekat dan velles kuning kemerah-merahan yang ditanam di atas tanah dan fertigasi.
“Aspek memangkas atau memotong ranting pokok anggur amat penting bagi membolehkan kami mengawal ke arah mana ia menjalar,” katanya.
Maizah pula berkata, hanya dalam tempoh antara 80 hingga 110 hari selepas ranting dipangkas dan mula mengeluarkan buah, anggur sudah boleh dipetik.
Katanya, setakat ini mereka masih belum memasarkan anggur secara komersial kerana yang lebih penting ialah menghasilkan anak pokok anggur yang dipasarkan pada harga antara RM50 hingga RM350 sebatang.
“Kami bercadang menyediakan kemudahan untuk pelanggan memetik sendiri anggur sebelum membelinya mengikut harga pasaran apabila semua RLH sudah mengeluarkan hasil yang konsisten tidak lama lagi
“Setakat ini, mereka yang hadir ke ladang diberikan peluang menikmati anggur secara percuma sebelum memilih anak pokok anggur yang diminati,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.