SENI MINIATUR PAPAR KEHIDUPAN KOTA MELAKA ABAD KE-15
BANDA HILIR 28 Disember – Lebih 30 seni miniatur yang memaparkan elemen sejarah, budaya dan tradisi Melaka dipamerkan kepada orang awam menerusi Pameran Retrospektif Citra Budaya dan Warisan Melaka di Muzium Sejarah dan Etnografi.
Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan berkata, meskipun hasil seni itu dipamerkan dalam skala yang kecil tetapi mesej yang disampaikan penuh makna selain memberi gambaran yang jelas tentang keindahan sejarah serta kekayaan budaya Melaka.
Katanya, antara seni menarik yang pastinya memukau pandangan pengunjung adalah miniatur berukuran dua meter lebar dan tujuh meter panjang yang menunjukkan gambaran Kota Melaka pada abad ke-15.
“Pameran ini adalah satu penghormatan kepada warisan budaya Melaka yang telah lama membentuk identiti malah ia juga merupakan platform untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat tentang pentingnya memelihara warisan agar dapat diwarisi oleh generasi akan datang.
“Menerusi pameran ini juga ia secara tidak langsung dapat mempertahan dan memartabatkan nilai sejarah serta warisan kerana setiap satu seni maniatur dihasilkan mempunyai mesej,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pameran Retrospektif Citra Budaya dan Warisan Melaka Dalam Seni Miniatur, baru-baru ini.
Hadir sama, Pengurus Besar PERZIM, Erne Hamsah.
Sementara itu, Erne berkata, pameran yang diadakan bermula dari 17 Disember hingga 28 Februari depan itu adalah antara program yang dirancang PERZIM sepanjang bulan Disember selain sebagai penutup tirai 2024 dan pembuka tahun baharu 2025.
“Perancangan mengadakan pameran ini sudah dibuat sejak 2020 di antara PERZIM bersama Galeri Kebudayaan World Culture Organisation (WCO) namun terpaksa ditunda susulan pandemik COVID-19.
“Namun hasrat itu dapat diteruskan dan kita membawanya ke Muzium Sejarah dan Etnografi dengan pelbagai sketsa mengenai aktiviti masyarakat pada zaman dahulu dengan diwakili oleh miniatur-miniatur patung pelbagai rupa, busana dan bangunan kecil,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.