Seni kanvas penghormatan buat pelaut
AYER KEROH 9 September – Terinspirasi dengan kecekalan pelaut atau ‘seafarer’ menempuh pelbagai cabaran ketika merentas samudera, pelukis Rasfan Abu Bakar menterjemahkan hasil seninya diatas kanvas pada Pameran Rasfan Abu Bakar : Seafarer.
Menurut Rasfan, pameran bertemakan laut dan segala keajaiban di persekitarannya itu merujuk kepada pelaut dengan menggambarkan perjuangan dan tanggungjawab mereka yang kerap berdepan suasana tidak menentu di tengah lautan.
“Fenomena alam sukar diramal yang menguji pelaut, memberikan inspirasi buat saya untuk mentrasformasikannya kepada bentuk seni visual abstrak ekspresionis.
“Seafarer merupakan manifestasi daripada keberanian pelaut, pameran ini juga sebuah penghormatan kepada mereka yang tidak gentar menghadapi ujian dalam menjalani kehidupan mereka di tengah samudera,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Pensyarah bertugas di sebuah akademi seni ini berkata, pameran berkenaan juga menjadi medan buat pelukis tempatan mengembangkan kreativiti seni mereka.
Tambahnya, pameran itu secara tidak langsung dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan pemuliharaan seni terutamanya seni visual abstrak, selain menambah tarikan buat pelawat singgah di Balai Seni Lukis Melaka.
“Pameran bermula 15 Julai lalu sehingga 14 September ini, orang ramai dan para pelancong berpeluang untuk melihat keindahan laut yang diabadikan menerusi lukisan-lukisan abstrak ekspresionis yang dipamerkan,” katanya.
Untuk rekod Rasfan merupakan seorang ahli akademik dan pelukis berbakat yang telah memberikan sumbangan besar dalam bidang seni serta pendidikan di Malaysia.
Selain dunia pendidikan dan penulisan, beliau juga seorang seniman multi-disiplin yang menghasilkan lukisan, catan, seni cetak, fotografi, video serta puisi.
Karya beliau, dipamerkan di dalam dan luar negara termasuk di Argentina, Itali, Sepanyol, Portugal, Amerika Syarikat, Kanada, Greece, Jerman, Switzerland dan Iran.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.