Senarai semak bantu urus perbelanjaan
AYER KEROH 25 Ogos – Orang ramai digalakkan untuk mengamalkan senarai semak kewangan bagi merancang perbelanjaan diri sendiri atau keluarga.
Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menerusi satu kenyataan memaklumkan melalui senarai semak, individu dapat melihat situasi kewangan secara lebih menyeluruh seperti aset, liabiliti serta perbelanjaan.
Menerusi penyediaan senarai semak kewangan setiap masa, individu boleh memahami kewangan sendiri dengan lebih baik dan dapat menetapkan pelan pelaksanaan untuk memenuhi matlamat kewangan yang telah ditetapkan.
“Selain itu individu boleh membuat keputusan sekiranya ingin mengembangkan dan memperbaiki kewangan dari semasa ke semasa.
“Senarai semak juga boleh membantu individu memberi tumpuan hanya kepada apa yang mereka ‘perlukan’ dan bukannya apa yang mereka ‘inginkan’, selari dengan belanjawan yang telah ditetapkan sebelum ini,” kata kenyataan itu.
Antara langkah perancangan kewangan lain boleh diamalkan ialah, kenal pasti perbelanjaan tetap, perbelanjaan berubah dan perbelanjaan budi bicara.
Orang ramai juga disarankan untuk membuat senarai pembelian sebelum berbelanja dan elakkan membeli barangan yang tiada dalam senarai, serta kenal pasti kapasiti (aliran tunai) terlebih dahulu sebelum membuat senarai keperluan serta kehendak.
Paling penting orang ramai perlu patuhi bajet yang telah dirangka dan hadkan pembelian secara kredit untuk keperluan, bukan gaya hidup (kehendak semata-mata).
Segala komitmen bulanan seperti bayaran bulanan untuk pinjaman peribadi, pinjaman rumah, hutang kad kredit dan utiliti perlu dimasukkan dalam perancangan bajet agar tiada masalah dikemudian hari.
Pada asasnya, apa sahaja yang berlaku di sekeliling kita, diri kita sendiri turut memainkan peranan di dalamnya.
“Kita dapat mencapai apa difikirkan jika dapat mengawal kewangan dan keadaan emosi. Persepsi yang betul tentang kesejahteraan kewangan adalah sangat penting untuk orang ramai supaya mereka dapat mengambil semua peluang pendidikan dan nasihat kewangan yang ditawarkan oleh AKPK atau mana-mana institusi sah yang lain,” katanya.
Semua akses kepada sumber dan perkhidmatan AKPK, termasuk Portal POWER! dan Pusat Sumber, boleh didapati melalui tapak web AKPK di www.akpk.org.my. Maklumat dan akses kepada perkhidmatan, perkongsian tip dan bahan pembelajaran AKPK boleh juga diperolehi
di platform-platform media sosial rasmi @AKPKofficial.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.