Sorting by

×

Senarai akhir atlet Sukan Olimpik dimuktamad Julai

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 27 April. – Senarai akhir atlet negara yang akan mewakili Malaysia ke kejohanan Sukan Olimpik Tokyo 2020 akan diketahui selewat-lewatnya awal Julai ini.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, senarai itu akan diputuskan selepas semua persatuan sukan selesai menjalankan proses kelayakan atlet masing-masing.

Katanya, setakat ini proses kelayakan masih dijalankan dan ada beberapa sukan yang tertangguh berikutan perlu menghadapi kejohanan antarabangsa terlebih dahulu.

“Sukan badminton masih belum ada yang layak kerana ada kejohanan Terbuka Malaysia dan Terbuka Singapura yang merupakan dua kejohanan terakhir.

“Kita juga ada beberapa kejohanan seperti sukan terjun, (kontinjen) baru sahaja bertolak ke Tokyo dan ada beberapa lagi kejohanan sukan seperti golf masih lagi sedang berjalan.

“Senarai akhir itu akan diperolehi awal Julai, selepas semua persatuan-persatuan sukan antarabangsa selesai menjalankan proses itu, jadi sekarang ini seluruh dunia sedang bergelut untuk mengadakan kejohanan kelayakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program pelepasan Jelajah Sokongan Kontinjen Road To Tokyo 2020 di pekarangan Kompleks Seri Negeri di sini, hari ini, yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Mengulas lanjut, beliau berkata, memandangkan proses kelayakan suntuk untuk diputuskan, terdapat juga proses kelayakan yang hanya dilihat berdasarkan tahap kesihatan atlet berkenaan.

“Maksudnya, atlet itu diberi peluang untuk bertanding jika negara tersebut tidak menghantar wakil (atas faktor kesihatan).

“Jadi kita menjangkakan lebih ramai lagi atlet negara akan layak ke Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik.

“Suka diingatkan juga bagi pasukan hoki, jika ada satu pasukan yang menarik diri seperti ura-ura pasukan Afrika Selatan, pasukan hoki lelaki kita akan menjadi pasukan simpanan pertama yang layak ke Olimpik, jadi semua kelayakan itu akan berlaku dalam sedikit masa lagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

805
Kongsi :
Previous post Buruh ladang dera dua anak dipenjara 22 tahun
Next post PKPP di Melaka, 8 negeri dilanjutkan sehingga 17 Mei
Ubah saiz-+=