Semuanya demi rakyat
“ORANG memberi, kita merasa”. “Buah tangan” yang amat bermakna buat rakyat Melaka!”
Rata-rata itulah reaksi umum kepada pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Melakaku Maju Jaya 2021: Sejahtera Bersama oleh YAB Datuk Seri Sulaiman Md. Ali Ketua Menteri Melaka pada 18 Jun lalu.
Pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan itu memberi tumpuan bagi membantu rakyat Melaka.
Di sebalik keadaan sukar yang melanda semua ketika ini, kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali mengambil langkah berani membantu rakyat Melaka yang terkesan akibat pandemik Covid 19 dan PKP 3.0.
Bukan sedikit jumlah yang diperuntukkan. Di sebalik kesukaran mengurus negeri dan kehilangan punca pendapatan utama dari sektor pelancongan, kerajaan negeri memperuntukkan RM174.53 juta bagi pakej rangsangan ini kali ini.
Jika dicampur dengan jumlah bantuan semasa PKP 1.0 yang lalu (RM21.45 juta), jumlah peruntukan bantuan ketika PKP sahaja berjumlah RM195.98 juta.
Satu jumlah yang cukup besar bagi sebuah negeri kecil yang tiada hasil bumi dan terjejas pendapatan ketika ini.
Namun, semuanya adalah demi rakyat! Kerajaan negeri peka dan prihatin dengan kesukaran yang dialami rakyat Melaka. Maka itu digerakkan strategi ‘serampang dua mata’ melalui pakej ini yang berbentuk bantuan dan rangsangan.
Mungkin ramai yang terlupa, atau buat-buat lupa, kerajaan negeri pimpinan YAB Datuk Seri Sulaiman Md. Ali juga perlu berjimat dan berhemah dalam perbelanjaan negeri.
Namun pasukan kerajaan negeri tetap berusaha keras menyantuni keperluan rakyat yang terkesan teruk akibat pandemik ini. Di masa yang sama pula, mereka perlu memikirkan bagaimana untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negeri.
Ini harus dilakukan agar kita berada dalam ‘mode’ sedia setelah sektor ekonomi dibuka sepenuhnya nanti. Kita perlu ‘menebas lalang’, membuka jalan dan menyediakan laluan untuk kemudahan masa hadapan.
Tidak perlu menunggu sehingga semuanya selesai, baru hendak bermula. Strategi paling tepat adalah menyediakan asas yang kukuh melalui pakej rangsangan ini.
Setelah semua sektor dibuka nanti, kita sudah pun berada di ‘gear 3’. Ketika itu nanti, yang perlu dilakukan adalah menstabilkan situasi dan meneruskan pacuan sehingga ‘gear 5 atau 6’.
Bukannya baru mahu ‘memanaskan enjin’ ketika keadaan telah pulih sepenuhnya. Pemikiran begini menyebabkan kita sentiasa ketinggalan dalam apa jua keadaan.
Proaktif, inovatif serta kreatif, itulah ciri penting bagi kita semua untuk segera keluar dari belenggu pandemik ini.
Tentunya ia menuntut pengorbanan yang bukan sedikit dari semua pihak.
Dalam masa yang sama, pelaksana kepada pakej bantuan yang diumumkan perlu bergerak seiring dengan kepimpinan. Ini juga adalah “Demi Rakyat”.
Mereka yang layak menerima bantuan dari pakej yang diumumkan tentunya berharap untuk menerima bantuan dengan kadar segera.
Kita percaya, polisi dan prosedur sedia ada sudah cukup untuk memudahkan urusan permohonan dan penerimaan bantuan. Kita juga yakin para pelaksana polisi akan mempermudah urusan pemohon.
Maka itu, tiada alasan lagi untuk kita melihat pakej bantuan ini gagal mencapai objektifnya. Jalan menuju kejayaan terbentang luas dihadapan kita.
Rakyat positif dengan pakej yang diumumkan. Sekarang adalah masa untuk melaksanakan apa yang telah diumumkan. Kerjasama padu dan jitu diperlukan antara kepimpinan dan penjawat awam sebagai pelaksana.
Rakyat juga tidak terkecuali. Kesefahaman dan penyelarasan dengan kepimpinan serta pelaksana amat perlu bagi menghasilkan kejayaan yang cemerlang.
“Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”. “Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”.
Tentunya muafakat dan saling bekerjasama antara semua pihak akan membuahkan hasil yang bakal memberi manfaat kepada seluruh rakyat negeri Melaka.
Penulis adalah Ketua Pegawai Operasi MHI
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.