SEMUA WAKIL RAKYAT MELAKA PERLU RAJIN BUAT KAJIAN, SELIDIK
SERI NEGERI 31 Disember – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh memuji kematangan wakil-wakil rakyat Negeri Melaka dalam perbahasan sempena Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas, yang berlangsung selama tiga hari, berakhir hari ini.
Meskipun begitu, beliau berharap perbahasan pada persidangan akan datang dapat ditingkatkan oleh semua wakil rakyat terlibat, baik di pihak kerajaan mahupun blok pembangkang.
Jelas beliau, ia bagi menjadikan persidangan dewan di Melaka berada di satu tahap lebih tinggi yang mencerminkan kebijaksanaan serta perbahasan bercorak intelektual.
“Saya melihat kematangan perbahasan kali ini dalam pelbagai sudut sama ada teguran, kritikan atau tohmahan saya terima, namun ia perlulah lebih bijaksana dengan membuat penyelidikan lebih awal.
“Dengan penyelidikan atau kajian yang baik, saya yakin kita dapat berbahas secara intelektual, selain ia berlandaskan kepada fakta dan asas yang betul.
“Teguran ini bukan sahaja kepada wakil pembangkang tetapi juga wakil kerajaan supaya kita dapat berbahas dengan lebih bijaksana,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media hari terakhir Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad.
Dalam pada itu, Ab Rauf turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah menyentuh pelbagai isu demi kebaikan rakyat yang pastinya impak dan manfaatnya akan dirasai oleh seluruh rakyat Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.