Sorting by

×

Semua sekolah, institusi pendidikan di tujuh jajahan di Kelantan ditutup seminggu mulai hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

KOTA BHARU 18 April. – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan mengarahkan semua sekolah dan institusi pendidikan yang berada di tujuh jajahan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri itu ditutup bermula hari ini hingga 24 April depan.

Pengarah JPN Kelantan Zulkernai Fauzi berkata, keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Khas Kelantan – Penguatkuasaan COVID-19 petang semalam.

Beliau berkata jawatankuasa mencadangkan kepada JPN supaya menutup semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di tujuh jajahan yang dilaksanakan PKP.

“Cadangan ini telah dipertimbangkan dan dengan mengambil kira situasi semasa, KPM membuat ketetapan bahawa semua sekolah yang berada dalam jajahan PKP diarah tutup bagi tempoh tujuh hari mulai 18 hingga 24 April.

“Selaras dengan keputusan itu, semua murid yang tinggal di asrama perlu kekal berada di asrama,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulkernai berkata arahan itu akan dimaklumkan kepada semua pentadbir sekolah di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk tindakan selanjutnya.

Serentak itu juga, beliau berkata guru-guru hendaklah dipastikan dapat melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berdasarkan kesesuaian dan keupayaan akses kepada komunikasi murid sepanjang tempoh penutupan sekolah.

Jelasnya pada masa sama semua Pegawai Pendidikan Daerah hendaklah terus membuat pemantauan semua sekolah bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan dipatuhi.

Rabu lepas, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tujuh kawasan di Kelantan yang terdiri daripada jajahan/daerah di Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Bachok, Machang, Tumpat dan Tanah Merah dikenakan PKP bermula 16 hingga 29 April.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1196
Kongsi :
Previous post Enam pemain di ABM positif COVID- BAM
Next post Penggemar sup tulang ‘buru’ tulang tengkuk
Ubah saiz-+=