Semua projek tambakan laut wajib lepasi penilaian alam sekitar, warisan
SERI NEGERI 11 Mac – Dalam memacu pertumbuhan ekonomi menerusi pelan pembangunan koridor Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ), kerajaan negeri akan tetap mementingkan aspek kelestarian alam sekitar dan penjagaan warisan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, untuk itu, kesemua projek tambakan mesti melepasi penilaian teknikal alam sekitar iaitu Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).
Selain itu, projek itu juga perlu mengambil kira dari sudut warisan melalui Laporan Kajian Penilaian Impak Warisan (HIA).
“Kerajaan Negeri sememangnya berhasrat untuk menjadikan M-WEZ sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi di kawasan tambak laut dengan pelbagai perancangan yang meliputi lima nukleus pembangunan iaitu Melaka Harbourfront, Smart Logistic, Digital Satelite Township, Central Eco Business Park dan Trade Nucleus New Township.
“Pelaksanaan pembangunan di kawasan tersebut turut mementingkan aspek pematuhan kepada kelestarian alam sekitar dan penjagaan warisan negeri Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pencapaian 100 Hari Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Dan Pelancaran Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035) versi 2 di Auditorium Seri Negeri, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, bagi menyemarak ekonomi rakyat dalam bidang keusahawanan kerajaan negeri turut mewujudkan zon kawasan perniagaan yang lebih terancang di setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Jelasnya, antara inisiatif yang telah dilakukan ialah memperbanyakkan tempat-tempat berniaga dengan infrastruktur asas yang lengkap seperti contoh, pembukaan Leypark Station di Ayer Keroh dan juga memperkenalkan Souq Subuh atau Pasar Subuh.
“Selain itu, Kerajaan Negeri juga meneruskan inisiatif Dana Kasih Niaga bagi 1,000 usahawan kecil dengan peruntukan sebanyak RM1 juta. Sehingga kini, sebanyak 327 permohonan telah diterima.
“Pada masa sama, seramai 373 usahawan telah diluluskan permohonan di bawah TEKUN Nasional dengan nilai RM3.9 juta.
“Inisiatif lain termasuklah Program Peningkatan Keupayaan PKS Bumiputera, Pembiayaan Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan lain-lain telah disediakan bagi membantu usahawan serta peniaga di Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.