Sorting by

×

Semua PPS yang ditempatkan mangsa banjir digazet secara autmatik – Ahmad Zahid

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

PASIR PUTEH, 22 Dis – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan semua pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara yang menempatkan mangsa banjir ketika ini namun belum digazet, kini secara automatik akan berfungsi sebagai PPS.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) berkata bagi tujuan itu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah diarahkan untuk menggazet semua PPS berkenaan.

“Saya telah mengarahkan NADMA untuk menggazet mana-mana tempat yang digunakan sebagai PPS yang tidak digazet untuk secara automatik terus digazet bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir

Setelah digazet semua bantuan mesti disalurkan ke PPS itu, ini adalah bagi mengelakkan birokrasi kerana selama ini bantuan hanya diberikan di PPS jika ia digazet,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media taklimat situasi banjir Jajahan Pasir Puteh disampaikan oleh Ketua Jajahan Pasir Puteh Ahmad Adlee Yasin di Sekolah Kebangsaan Jelor, Pasir Puteh di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata JPBP telah memutuskan supaya semua PPS di seluruh negara bakal memiliki dewan secara kekal untuk menempatkan mangsa banjir pada masa depan.

“NADMA melalui peruntukan yang akan saya perolehi akan dirikan PPS secara kekal di jajahan atau kawasan yang sering dilanda banjir.

Ada dua pilihan pertama kita gunakan sekolah-sekolah yang sering dijadikan PPS untuk dibina sebuah dewan bagi dijadikan PPS ketika banjir dan digunakan pihak sekolah di luar musim banjir. Ini pendekatan proaktif untuk faedah sepanjang masa bukan hanya bermusim,” katanya.

Ahmad Zahid berkata bagi PPS yang tidak berada di kawasan sekolah, kerajaan negeri akan berbincang dengan Pejabat Tanah dan Galian untuk mengenal pasti tanah yang sesuai.

“Insya-Allah Kerajaan Pusat akan salurkan peruntukan bagi pembinaan secara kekal,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata NADMA atas nasihat Jabatan Meteorologi Malaysia akan menasihatkan orang ramai supaya berpindah tiga hari lebih awal berdasarkan ramalan cuaca luar biasa.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1602
Kongsi :
Previous post Konvoi Kembara NGO Seni Budaya promosi seni, budaya tempatan
Next post Hotel lima bintang tarik pelancong premium ke Melaka
Ubah saiz-+=