Semua pihak terlibat tangani isu sosial anak-anak
DURIAN TUNGGAL 12 Jun – Seluruh masyarakat termasuk badan bukan kerajaan (NGO), cendekiawan,pemikir dan pembuat dasar perlu bekerjasama bagi menangani isu sosial yang berlaku dalam kalangan generasi muda hari ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, semua pihak perlu mengambil berat keadaan yang berlaku di sekeliling terutama dalam keluarga dan jiran tetangga supaya langkah kawalan dan pencegahan awal dapat dilakukan.
Katanya, ia berikutan masalah itu tidak hanya berlaku pada kaum mahupun golongan tertentu, sebaliknya ia adalah isu merentas pelbagai bangsa dan budaya.
“Peranan semua anggota masyarakat khususnya kita yang berada di sini pada hari ini, sangat penting dan menjadi teras utama dalam proses pembangunan sesebuah negara.
“Jika masyarakat sesebuah negara itu baik, maka negara juga baik, seterusnya ekonomi negara juga akan berkembang dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan perasmiannya pada Seminar Isu Sosial Masyarakat 2022 diadakan di Dewan Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini hari ini.
Program diadakan sejak 9 pagi tadi menghimpunkan kesedaran buat peserta dengan diberikan pendedahan menerusi forum yang dihadiri Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay; Setiausaha Agong Persekutuan Persatuan-Persatuan Kesihatan Reproduktif (FDHAM), Dr. Satesh Kumar Periyasamy dan Pakar Perubatan Psikiatri Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Khadijah Hasanah Abang Abdullah.
Program anjuran Persatuan Kesihatan Reproduktif Melaka itu banyak memfokuskan beberapa isu sosial yang membelenggu masyarakat terutama isu jenayah seksual, dadah, kesihatan mental serta pelbagai lagi dalam kalangan generasi muda.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kesihatan Reproduktif Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah berkata, program seumpama itu perlu diperluaskan sehingga ke peringkat akar umbi agar memberi kesedaran menyeluruh kepada masyarakat.
“Ia pwerlu diperluaskan sehingga ke peringkat masyarakat supaya kesedaran ini mampu ditingkatkan dengan menerusi kerjsama NGO, pemimpin masyarakat malah ia sekali gus membantu pihak berkuasa untuk menangani gejala yang melanda.
“Sekurang-kurangya kita membantu secara tidak langsung untuk kita melahirkan masyarkat yang lebih sihat yang peka dan risau dengan generasi kita,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.