Semua kakitangan wanita PDRM diberi saringan mamogram, HPV percuma
KUALA LUMPUR, 5 September – Semua anggota dan kakitangan awam wanita Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutamanya yang berusia 40 tahun ke atas serta berisiko tinggi akan diberikan ujian mamogram bagi pengesanan awal kanser payudara dan saringan kanser pangkal rahim menerusi ujian Human Papillomavirus (HPV DNA) secara percuma di seluruh negara.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun berkata program di bawah kempen kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCARE) itu, turut diperluaskan kepada isteri polis dan pesara polis wanita, selain keutamaan kepada mereka yang mempunyai sejarah penyakit itu dalam keluarga.
“Kementerian melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) melihat mereka juga perlu diberi kemudahan menjalankan pemeriksaan ini secara percuma sebagai tanda penghargaan kepada jasa yang telah disumbangkan selama ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wirawati PDRM di Maktab PDRM Cheras di sini hari ini.
Sebagai permulaan, beliau berkata program itu akan dilaksanakan di Kuala Lumpur sebelum diperluaskan ke negeri-negeri bergantung kepada kesediaan LPPKN dan kontinjen PDRM negeri.
Menurut Rina agensi itu akan memberi taklimat pemeriksaan dan memudah cara kakitangan wanita PDRM membuat saringan di hospital selain menggerakkan Klinik Bergerak LLPKN untuk tujuan sama.
Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata berdasarkan statistik oleh Cawangan Kebajikan Jabatan Pengurusan Bukit Aman, seramai 23 polis wanita telah meninggal dunia pada tahun lepas dengan empat daripadanya disebabkan kanser payudara dan pangkal rahim.
Menurutnya beliau akan mengarahkan semua Pesuruhjaya Polis, Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah untuk menggalakkan kakitangan wanita dan isteri kakitangan PDRMÂ mengambil manfaat daripada program berkenaan di kawasan pentadbiran masing-masing.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.