Sorting by

×

‘Semua Adun patut fokus bantu rakyat’

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 16 Julai – Pelbagai kemajuan dicapai Melaka, khususnya dalam aspek perkembangan perindustrian dan pelancongan hasil inisiatif Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, sepatutnya disambut baik serta disokong oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) meskipun berbeza fahaman politik.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam berkata, hasil kecekapan pentadbiran dan perancangan diterajui Ab Rauf, Melaka kini menjadi antara destinasi percutian utama dunia dan pilihan pelabur asing yang mahu bertapak di negeri ini dengan limpahan ekonomi dinikmati rakyat segenap lapisan.

Katanya, sebagai seorang profesional Adun Sungai Udang, Dr. Mohd Aleef Yusof tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan mencabar Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Agak kecewa apabila seorang doktor berpandangan (membuat kenyataan) sedemikian. Walaupun duduk di blok pembangkang beliau sepatutnya menunjukkan contoh yang baik sebagai seorang pemimpin dan bersama-sama membantu pembangunan serta kemajuan negeri.

“Peluang terbuka hasil inisiatif Ketua Menteri sepatutnya digunakan beliau untuk membawa lebih banyak kemajuan ke DUN Sungai Udang, bukan membuat cabaran (bubar DUN) seperti itu,” katanya kepada Melaka Hari ini.

Shamugam berkata, dalam suasana dunia mencabar ketika ini, pembubaran DUN adalah satu perkara yang amat merugikan wang rakyat khususnya pembayar cukai.

“Mahu laksanakan pilihan raya memakan belanja yang besar, bagi saya amat merugikan, baik kita salurkan kepada perkara lebih bermanfaat, lebih-lebih lagi ketika Melaka diterajui sebuah kerajaan yang stabil dan cekap.

“Tidak salah Ketua Menteri mengeluarkan kenyataan mahu merampas kerusi Sungai Udang pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) nanti.

“Jangan jadi katak bawah tempurung kaca, nampak tetapi tidak mahu berubah. Apa yang dilaksanakan kerajaan ketika ini semuanya adalah bagi menjamin kesejahteraan rakyat. Rakyat adalah keutamaan semua Adun,” katanya.

Terdahulu, sebuah portal media tempatan melaporkan, Dr. Mohd Aleef mencabar Ab Rauf yang juga merupakan Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka untuk membubarkan DUN Melaka susulan kenyataannya untuk merampas kerusi DUN Sungai Udang Pada PRU-16 nanti.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

236
Kongsi :
Previous post 10 Muharam yang istimewa buat anak-anak RAYSAS
Next post DUN Rembia: Kebajikan penduduk tetap dijaga
Ubah saiz-+=