Sempadan negara akan dibuka selepas berbincang dengan tiga agensi – Hishammuddin

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

KUALA LUMPUR, 8 Feb – Sempadan negara hanya akan dibuka selepas diadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Jabatan Imigresen dan dibawa kepada jawatankuasa khas yang dipengerusikan perdana menteri, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata hasil perbincangan antara ketiga-tiga pihak itu akan dibawa ke mesyuarat kuartet untuk diperhalusi terlebih dahulu, sebelum dibawa ke peringkat jemaah menteri atau Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 yang dipengerusikan oleh perdana menteri.

Bagaimanapun katanya dua kementerian itu dan Jabatan Imigresen telah diarah untuk membuat persiapan bagi pembukaan sempadan negara.

“Pembukaan semula sempadan negara adalah satu keputusan yang besar terutamanya melibatkan negara yang mempunyai hubungan dua hala yang masih lagi menutup sempadan terhadap warga Malaysia,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini yang mengesyorkan agar sempadan negara dibuka sepenuhnya seawal 1 Mac ini tanpa keperluan kuarantin wajib.

Menurut Muhyiddin syor yang dikemukakan dalam mesyuarat MPN itu adalah langkah penting bagi menyokong pemulihan negara khususnya dalam sektor ekonomi dan pelancongan, serta mampu menarik pelabur asing ke negara ini.

Mengulas sama ada sempadan negara boleh dibuka mengikut tarikh yang disyorkan oleh MPN, Hishammuddin berkata ia bergantung kepada perbincangan dengan dua kementerian dan Jabatan Imigresen.

“Tarikh berkenaan (1 Mac) hanyalah syor MPN, dan kaedah kita, apa juga syor dan cadangan daripada MPN akan dibawa semula ke kabinet (jemaah menteri) untuk mendapat keputusan yang muktamad,” katanya.

Sementara itu Hishammuddin berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia untuk kembali memainkan peranan penting dalam menangani COVID-19 seperti sebelum ini dengan pengaktifan semula National COVID-19 Rapid Response Task Force (RRTF).

Menurutnya penubuhan semula RRTF adalah tepat ketika negara sedang menghadapi peningkatan kes COVID-19 akibat varian Omicron, dan ATM bersedia untuk terus terlibat, bersedia pada bila-bila masa untuk mendirikan hospital medan di mana-mana lokasi di seluruh negara jika diperlukan.

“Ia hanya mengambil masa selama seminggu untuk kita dirikan hospital medan ini, tetapi untuk masa sekarang ia tidak perlu kerana hospital di seluruh negara tidak berada dalam keadaan tertekan dengan jumlah pesakit COVID-19, jadi orang ramai jangan bimbang, kita tidak berada dalam keadaan seperti dahulu,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

944
Kongsi :
Previous post Taman Tema Genting Skyworlds dibuka dengan rasmi
Next post Keputusan laksana fasa peralihan ke endemik bergantung kepada JKKPP – Hishamuddin
Ubah saiz-+=