Sorting by

×

Sempadan dibuka: MATA sedia pelbagai pakej promosi tarik pelancong luar

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

KUALA LUMPUR, 9 Mac – Sektor pelancongan kini boleh menarik nafas lega berikutan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini bahawa sempadan negara akan dibuka semula pada 1 April ini.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) Datuk Mohd Khalid Harun berkata kesemua ahlinya menyambut baik berita gembira berkenaan dan akan melaksanakan pelbagai pakej promosi dalam dan luar negara bagi menarik pelancong.

“Kurang dari sebulan (sebelum sempadan negara dibuka), ahli-ahli kami akan membuat pelbagai pakej promosi bagi dalam dan luar negara serta saya yakin dengan tempoh kurang dari sebulan ini, ahli-ahli kami dapat menyediakan banyak pakej pelancongan untuk dipasarkan.

“Saya juga ingin menasihatkan kepada semua ahli untuk lebih menitikberatkan aspek kesihatan untuk setiap pelancong yang dibawa masuk dengan menyediakan kit ujian kendiri COVID-19 bagi memantau tahap kesihatan pelancong berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Mohd Khalid berkata pihaknya juga akan akur dengan prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditetapkan selain akan berterusan memberi sokongan dan kerjasama kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi mempromosikan kembali Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) Dr Sri Ganesh Michiel pula berkata meskipun pemulihan industri perhotelan dan pelancongan mengambil masa yang lama, beliau berharap agar SOP dapat dikeluarkan sebelum pembukaan sempadan bagi mengelakkan kekeliruan.

Perdana Menteri dalam pengumuman hari ini berkata langkah pembukaan semula sempadan adalah selari dengan perancangan memasuki Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ dan pengumuman yang paling dinanti-nantikan rakyat ini akan merancakkan semula ekonomi negara secara keseluruhan khususnya industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

982
Kongsi :
Previous post ‘Parti musibat inilah letakkan siapa dia sekarang’
Next post Pembukaan semula sempadan perkukuh pemulihan perniagaan
Ubah saiz-+=