Sembunyi kesedihan demi anak
REMBIA 16 Julai – Sebalik raut wajah yang ceria, wanita ini sebenarnya menyembunyikan perasaan sedih selepas diuji dengan pemergian suami secara mengejut baru-baru ini.
Meskipun dugaan itu agak sukar dan berat, Nadfizatul Ain Abdul Halim, 39 tetap cekal meneruskan kehidupan demi membesar tiga cahaya mata berusia tiga hingga 10 tahun.
Katanya, dia reda dengan pemergian arwah suami yang meninggal dunia setelah mengalami masalah pernafasan.
“Pada waktu subuh 1 Muharam arwah mengadu dadanya tiba-tiba berasa sesak, sebelum tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia.
“Setahu saya arwah tidak ada sebarang penyakit atau masalah kesihatan serius, dia pergi secara mengejut,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu, Nadfizatul antara ibu tunggal yang mengiringi tiga cahaya matanya menerima sumbangan Kerajaan Negeri sempena Sambutan Hari Asyura dan Menyantuni Anak Yatim sempena Maal Hijrah Peringkat Negeri Melaka.
Program diadakan di Masjid Ar-Rasyidin, Alor Gajah, semalam telah disempurnakan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Hadir sama pada majlis itu Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Badaruddin Mohd Kassim.
Pada program itu, 50 anak yatim telah diraikan sebelum majlis berbuka puasa disusuli solat Maghrib berjemaah dan diakhiri dengan ceramah disampaikan pendakwah Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek.
Dalam pada itu, Nadfizatul turut menzahirkan terima kasih di atas keprihatinan Kerajaan Negeri membantu anaknya, sekali gus dapat menampung perbelanjaan pendidikan mereka.
“Tahun ini adalah kali pertama mereka menerima sumbangan anak yatim, alhamdulillah terima kasih atas sumbangan diberikan dan ini adalah rezeki buat anak-anak saya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.