Sembilan rumah dilanda banjir lumpur akibat tembok runtuh
TANJUNG BIDARA 6 Nov. – Kira-kira 45 penghuni sembilan unit rumah terkejut apabila kediaman mereka dilanda banjir lumpur selepas tembok dibina pemaju perumahan berhampiran rumah mereka di Taman Bidara Jaya, di sini runtuh akibat hujan lebat awal pagi ini.
Kejadian pada jam 5.45 pagi itu turut menyebabkan sebuah van penghuni rumah teres satu tingkat berkenaan musnah akibat ditimpa batu dan tanah. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
Mangsa, Sukri Rashid, 45, berkata ketika kejadian beliau bersiap-siap untuk menunaikan solat Subuh dan terkejut apabila tiba-tiba terdengar dentuman dari arah belakang kediaman.
“Saya sangat terkejut apabila terdengar bunyi kuat dari belakang rumah dan apabila keluar, saya dapati van yang saya gunakan untuk berniaga pakaian sudah ditimpa batu tembok yang runtuh.
“Saya lantas mengejutkan isteri dan tiga anak berusia antara 14 hingga 19 tahun supaya bersedia untuk keluar dari rumah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Bagaimanapun beliau bersyukur kerana runtuhan batu tembok itu tidak terkena kediamannya, sebaliknya hanya air bercampur lumpur tebal yang melimpah masuk hingga ke ruang tamu.
Rosli Ujang, 57, berkata, sejurus terdengar dentuman akibat tembok setinggi kira-kira 1.5 meter runtuh, beliau segera keluar dan terkejut apabila mendapati lumpur sudah melimpah masuk ke dapur sebelum merebak ke ruang tamu dan tiga bilik.
“Kejadian itu sangat pantas dan saya bersama isteri serta lima anak segera menyelamatkan perabot daripada ditenggelami banjir lumpur.
Harith Othman, 24, berkata kebetulan malam tadi beliau dan isteri bermalam di kediaman bapanya, Othman Che Leh, 52, dan terkejut apabila terdengar dentuman itu.
“Kami segera keluar rumah bagi mengelakkan kemungkinan batu menimpa rumah tetapi alhamdulillah, hanya air dan lumpur yang masuk ke dalam rumah,” katanya.
Iffah Mohd Noor, 27, berkata beliau dan ibunya, Salmah Sulikon, 48, serta tiga anggota keluarga segera keluar sejurus menyedari banjir lumpur melimpah ke dalam kediaman.
“Saya terkejut apabila mendapati sangkar kucing sudah dihanyutkan banjir tetapi saya berjaya menjumpai semula sangkar itu dengan tiga kucing kecil di dalamnya masih bernyawa,” katanya.
Bagamanapun, beliau bersyukur kerana tiada sesiapa yang cedera dalam kejadian itu.