Sorting by

×

Sembilan rakyat Malaysia bersama dua tanggungan tiba di Kuala Lumpur esok – Ismail Sabri

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

KUALA LUMPUR, 28 Feb – Sembilan rakyat Malaysia bersama dua tanggungan mereka yang dibawa keluar dari Kyiv, Ukraine kini dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dan dijangka tiba esok, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menerusi hantaran di media sosialnya, Perdana Menteri berkata seorang warga Singapura turut dibawa keluar bersama-sama konvoi rakyat Malaysia ke Poland.

“Alhamdulillah sembilan rakyat Malaysia bersama dua tanggungan mereka telah pun selamat dibawa keluar dari Kyiv, Ukraine dan dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpu, dijangka tiba esok.

“Atas dasar persahabatan dan diplomatik, kita juga membantu membawa keluar seorang warganegara Singapura bersama-sama rombongan rakyat Malaysia ke Poland,” katanya dalam hantaran di Facebook rasminya hari ini.

Ismail Sabri berkata beliau menghargai ucapan terima kasih daripada Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur dalam laman facebook rasminya semalam kerana membantu rakyat negara itu keluar dari Kyiv.

Perdana Menteri menyatakan kerajaan Malaysia sentiasa meraikan keakraban kedua-dua negara dan mengajak negara republik itu untuk bekerjasama sebagai keluarga ASEAN.

“Kita tempuhi bersama sebagai satu keluarga dan bekerja bersama sebagai satu keluarga ASEAN,” katanya

Semalam, Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah menerusi ciapan di Twitter memaklumkan konvoi yang selamat tiba di Poland awal pagi semalam itu diketuai Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Ukraine Fadhilah Daud.

Sebelum ini Ismail Sabri dilaporkan berkata pemindahan baki rakyat Malaysia di Ukraine dilakukan berikutan keadaan tidak menentu di rantau itu.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

438
Kongsi :
Previous post COVID: 0.43 peratus kes baharu babitkan kategori tiga hingga lima
Next post Maybank2u alami kelambatan sekali-sekala
Ubah saiz-+=