Sembilan kali jadi ‘mangsa tegar’ banjir akhirnya diberi perhatian

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

DURIAN TUNGGAL 6 Dis. – “Alhamdulillah, selepas sembilan kali jadi ‘mangsa tegar’ banjir akhirnya dipandang oleh semua pihak bagi mengatasi masalah yang melanda sejak tahun 2016,” kata Pengetua Madrasah Tahfiz Al Quran Wal Qiraat Ainussyukriah, Muhammad Sufian Ahmad Shukri selepas menerima kunjungan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md. Ali, di sini pada 6 Disember lepas.

Menurut Muhammad Sufian, dilema terbabit sering dihadapi madrasah tersebut tiap kali musim banjir melanda malah kadangkala membuatkan kawasan terbabit dinaiki air separas dada akibat pengairan sungai yang tidak sempurna di kawasan terbabit.

Jelasnya, akibat banjir yang melanda berpunca dari sungai yang terletak kira-kira 300 meter dari madrasahnya mengakibatkan pihaknya mengalami kerugian hampir RM50,000.

MUHAMMAD Sufian menunjukkan paras air maksimum yang pernah dinaiki ketika banjir melanda di madrasahnya.

“Kami rasa begitu hiba apabila ketika kawasan ini digenangi air dan telah mengakibatkan pelbagai barangan yang rosak dan hilang akibat dihanyut air termasuk peti ais, gas memasak serta pelbagai lagi.

“Bencana tersebut berlaku sebanyak sembilan kali selepas kami berpindah di sini pada 2016 dan hasil bantuan penduduk kampung kami berjaya menyelamatkan barangan yang sempat dialihkan dan dari itu kerugian semakin menurun disebabkan berjaya dialihkan hasil inisiatif orang ramai.

“Tiap kali musim hujan melanda, kami akan bersiap siaga dengan apa yang akan berlaku dan mujur keadaan banjir yang berlaku baru-baru ini air yang dinaiki hanya separas betis sahaja bagaimanapun barangan penting yang lain kami sempat selamatkan.

“Apa pun kami tetap bersyukur dan berterima kasih dengan pemimpin yang berjiwa rakyat yang mahu segerakan perkara ni diselesaikan menerusi kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi menilai semula strukur keadaan sungai yang berdekatan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu, Sulaiman yang mengunjungi lokasi terbabit berkata, pihaknya telah mengarahkan agensi terutama JPS bagi mengatasi masalah terbabit supaya mengkaji secara lebih mendalam terhadap projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang akan dibina di Alor Gajah.

Katanya, agensi terbabit perlu mnenilai kepentingan dengan kajian terperinci di kawasan itu terhadap perancangan selanjutnya berikutan peruntukan RM40 juta disalurkan bagi mengatasi isu banjir di daerah berkenaan.

“Mereka perlu melakukan kajian terperinci dan adakah peruntukan terbabit mampu mengatasi masalah pendudk di kawasan ini terutama mereka yang mendiami di sekitar kawasan sungai, malah perkara ini perlu dinilai agar ia dapat dimanfaatkan secara menyeluruh.

“JPS perlu mengambil kira pandangan dari pelbagai pihak berkepentingan dan jika RTB ini dibina ia mampu memberi keselesaan rakyat di kawasan ini terutama pada pihak sekolah agar bencana ini tidak lagi melanda,” katanya pada lawatan ke madrasah tersebut yang menempatkan kira-kira 100 pelajar dan 12 tenaga pengajar itu.

Views:

1031
Kongsi :
Previous post EU bakal lulus rejim sekatan baharu
Next post Indonesia terima 1.2 juta dos vaksin COVID-19 
Ubah saiz-+=