Sorting by

×

SEMBILAN CEDERA, KEMALANGAN BABIT LAPAN KENDERAAN

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 8 Januari – Sembilan cedera termasuk seorang pemandu bas parah selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan lapan kenderaan di Lebuh Sungai Udang – Paya Rumput – Ayer Keroh (SPA) berhampiran Jalan Autocity di sini pagi tadi.

Kemalangan dipercayai berlaku kira-kira jam 10.15 pagi itu membabitkan sebuah bas, tiga buah lori, dua kenderaan pacuan empat roda (4×4), sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan sebuah kereta.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata kejadian dipercayai berpunca daripada kenderaan rosak di lebuh raya berkenaan menyebabkan kenderaan lain berhenti dan berlanggar.

“Kemalangan itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kematian, hanya terdapat mangsa yang cedera termasuk seorang pemandu bas tersepit,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam pada itu Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Pisar Aziz berkata pihak menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.38 pagi.

Katanya, sepasukan anggota membabitkan kira-kira 30 orang tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian dan mendapati terdapat kira-kira 15 mangsa terlibat dalam kemalangan itu.

“Seorang pemandu bas dan seorang pemandu lori tersepit sebelum anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa.

“Daripada 15 mangsa terlibat, sembilan mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Melaka menaiki beberapa ambulans termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Operasi menyelamat tamat kira-kira jam 12 tengah hari,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

427
Kongsi :
Previous post PERZIM MAHU KETENGAH KREATIVITI INDIVIDU ‘BERTANGAN’ SENI
Next post ELAUN TAMBAHAN HARGAI JPKK MELAKA
Ubah saiz-+=