Semarakkan semangat patriotik anak muda

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH, 25 Ogos – Anak muda zaman kini perlu diberikan pendedahan serius mengenai kepentingan patriotik dalam diri mereka.

Pengerusi Yayasan Penggerak Wawasan Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik berkata, semangat cintai negara perlu diperkasakan demi menjamin masa hadapan dan keharmonian sesebuah negara itu.

Menurutnya, meskipun sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia disambut penuh meriah setiap tahun, namun ia masih belum memadai.

Pengerusi Yayasan Penggerak Wawasan Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik

“Kita mahu apa saja mereka lakukan mencerminkan semangat patriotik dan mempamerkan kesungguhan mereka sebagai anak Malaysia.

“Sehubungan itu, satu program Kembara Merdeka Jalur Gemilang akan dianjurkan bagi merealisasikan hasrat tersebut,” katanya.

Jelas Abdul Rahim lagi, program yang akan diadakan pada 30 Ogos itu akan bermula di kawasan Parlimen Hang Tuah Jaya dan akan berakhir di Masjid Tanah.

“Program sehari itu melibatkan pelbagai aktiviti termasuk konvoi bermotosikal mengibarkan jalur gemilang dengan menyelitkan ikrar patriotik serta deklamasi puisi kemerdekaan.

“Kita juga akan bersama-sama meraikan ambang Merdeka pada detik 12 malam sebagai tanda kita menghargai kemerdekaan negara,” katanya.

Konvoi dijangka melibatkan lebih 200 peserta yang terdiri daripada generasi muda dan belia di negeri ini.

Dalam pada itu, Abdul Rahim menyeru golongan berkenaan supaya tidak melupakan jasa dan pengorbanan pejuang kemerdekaan.

“Kita harus contohi mereka sentiasa supaya tidak dijajah lagi.

“Pengorbanan mereka akan menjadi sia-sia jika kita, khususnya generasi kini dan akan datang memandang ringan terhadap perjuangan datuk nenek kita dahulu,” katanya.

Views:

444
Kongsi :
Previous post Lubang muat tubuh budak ancam penduduk Kampung Pantai
Next post Sambut Hari Kebangsaan 2020 cara sendiri
Ubah saiz-+=