Semarak WKB2030: Pembangunan pelancongan, pertanian Alor Gajah diperkasakan
MACHAP JAYA 23 Sept. – Pembangunan pelancongan dan pertanian melalui pelbagai inisiatif lain akan dibangunkan di Alor Gajah sekali gus mampu memperkasa ekonomi terutama pada pasca COVID-19.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md. Yusof berkata, pembangunan dari sektor pelancongan di Alor Gajah akan diperkasakan dengan pelbagai pendekatan penggunaan teknologi terkini mampu meningkatkan kadar pelancong ke bandar warisan terbabit.
Katanya, pelancongan membabitkan penggunaan realiti maya (virtual reality) mampu menjadi tarikan baharu di kawasan itu dengan pelbagai kemudahan termasuk studio dan sebagainya bagi menarik pelancong ke negeri ini.
“Inisiatif yang dilaksanakan ini adalah kesinambungan dalam pemerkasaan bagi menyemarakkan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB2030) bagi memberangsangkan ekonomi masyarakat terutama golongan B40.
“Alor Gajah dipilih dalam melaksanakan inisiatif ini dan akan dilancarkan melalui acara pameran yang turut dilancarkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Oktober ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pada lawatannya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan, di sini semalam.
Dalam pada itu, menurut beliau pemerkasaan sektor pertanian turut diperkasakan di komuniti terbabit dengan pendekatan inisiatif ‘Smart Farming’ sekali gus mampu melahirkan kepakaran tempatan.
“Melalui ‘Smart Farming’ kerajaan akan melakukan kerjasama bersama agensi kerajaan dan swasta bagi memastikan kerjasama ini melahirkan petani yang boleh maju kehadapan.
“Inisiatif ini turut dilaksanakan dengan pelabagai pendekatan pertanian lain terutama tanaman fertigasi dan sebagainya yang mampu membentuk penjimatan tenaga dan masa,” katanya.
Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang diperkenalkan kerajaan tahun lalu, akan diperkasakan semula menerusi beberapa penambahbaikan, termasuk berkaitan dengan program pembangunan ekonomi rakyat sebagai sebuah negara yang terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif pada rakyat.
Iltizam itu akan diteruskan ke arah mengukuhkan kestabilan politik dan meningkatkan kemakmuran negara serta memastikan rakyat bersatu padu tanpa prasangka dengan meraikan kepelbagaian bangsa dan budaya sebagai asas penyatuan negara bangsa.
Program itu bermatlamat menyediakan taraf hidup yang wajar (decent standard of living) kepada semua rakyat negara ini pada 2030.