
SEMARAK SYAWAL FAMA MELAKA SASAR NILAI JUALAN RM250,000
MERLIMAU 29 Mac – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan nilai jualan RM250,000 menerusi penganjuran Program Semarak Syawal Peringkat Negeri Melaka.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, penganjuran jualan itu berlangsung selama enam hari bermula 25 hingga 30 Mac di 10 lokasi terpilih membabitkan ketiga-tiga daerah di negeri ini.
“Jualan ini sudah bermula sejak Selasa lalu dan akan berakhir esok yang mana esok hanya dua pasar tani akan beroperasi iaitu di Pasar Tani Merlimau dan Pasar Tani Alor Gajah.
“Sepanjang berlangsungnya jualan ini FAMA sasarkan nilai jualan sebanyak RM250,000 dengan jumlah kehadiran pengunjung pula seramai 5,000 orang di kesemua lokasi pasar tani.
“Berdasarkan hasil jualan sejak dua hari lalu, sejumlah RM175,000 berjaya diperoleh dan bakinya kita yakin dapat capai selepas selesai penganjuran terakhir esok,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau, berkata demikian ketika ditemui pada Program Sambutan Semarak Syawal 1446H Pasar Tani Merlimau, di sini, hari ini.
Menurut Dr. Muhamad Akmal, menerusi penganjuran jualan itu pengunjung dapat penjimatan yang jauh lebih banyak berbanding pembelian di lokasi lain.
“Antara barangan yang ditawarkan adalah ayam standard yang boleh dibeli dengan harga RM12 seekor, Bakul Madani Raya (RM10), telur ayam gred C (RM6) dan beras putih tempatan 10 kilogram hanya RM26,” katanya.
Sementara itu, jelasnya, FAMA Melaka juga optimis dalam menyasarkan nilai jualan sebanyak RM8 juta di semua Pasar Tani seluruh negeri sepanjang tahun ini.
“Sasaran ini bakal dicapai menerusi penganjuran lapan Pasar Tani yang beroperasi di tiga daerah utama di Melaka.
“Malah sehingga Februari lalu, sejumlah RM795,253 nilai jualan sudah berjaya diperoleh,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.