Semarak dondang sayang

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

TELOK MAS 15 Sept – Dondang sayang yang menjadi identiti warisan dan kebudayaan rakyat Melaka sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka di negeri ini seakan ‘pupus’ ditelan zaman.

Peredaran zaman yang terlalu bergantung kepada kecanggihan gajet dan teknologi seolah-olah menenggelamkan seni budaya itu yang sepatutnya diwarisi oleh generasi hari ini.

Menyedari hal itu, Persatuan Dondang Sayang Melaka melakukan pelbagai usaha bagi memartabatkan Dondang Sayang agar kekal segar dalam ingatan generasi masa kini.

Penasihatnya, Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, antara dilakukan pihaknya termasuk bekerjasama dengan Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan (JKKN) negeri supaya memfokuskan pembangunan seni warisan itu daripada terkubur begitu sahaja.

AKRAMUDDIN.

Menurutnya, setiap enam tahun sekali, kerajaan negeri perlu menghantar laporan kepada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik, dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“…maka jika kita tidak menghidupkan dondang sayang ini, pengiktirafan UNESCO mengenai Dondang Sayang itu akan ditarik balik.

“Sebab itu, saya yang juga Pengerusi Kebajikan Kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menubuhkan pasukan dondang sayang pelapis.

“Kebanyakannya terdiri daripada mereka yang bermasalah dan yang mendapat perintah mahkamah supaya menyertai seni warisan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan persembahan Dondang Sayang dianjurkan Pasukan Homestay Dondang Sayang Baruh Alai.

Hadir sama, Pengurus Besar PERZIM, Drs Mohd Nasaruddin Rahman dan Pengurus Besar Institut Warisan Melaka (INSWA), Nurman Mohd Baroldin. serta Ketua Pegawai Operasi Melaka Hari Ini (MHI), Anuar Shaari.

Menurut Akramuddin, jika kesenian itu dapat dikembangkan di peringkat akar umbi beliau yakin Dondang Sayang mampu berada pada tahap yang memuaskan.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) berkata, kira-kira tujuh kumpulan Dondang Sayang ditubuhkan di negeri ini dan masing-masing menampilkan keistimewaan sendiri dalam membuat persembahan.

“Saya akan meminta Setiausaha Persatuan Dondang Sayang negeri untuk menghantar surat kepada semua agensi kerajaan negeri supaya melalui persatuan sekiranya ingin menjemput kumulan ini membuat persembahan.

“Selain itu, pada akhir bulan ini, Pasukan Homestay Dondang Sayang Baruh Alai akan merakamkan album, yang mana video klipnya mengandungi lima lagu termasuk dua berkisarkan ‘homestay’ dan ada juga menggambarkan tempat bersejarah di Melaka,” katanya.

Beliau berkata, album berkenaan akan diselitkan dengan ucapan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan diedarkan secara percuma kepada pengunjung ke negeri ini.

Jelasnya, album itu juga menampilkan dua penyanyi kanak-kanak yang meraih gelaran Johan Dondang Sayang di peringkat negeri selain dibarisi beberapa generasi penyanyi Dondang Sayang.

“Jadi, jika kita tidak persembahkan dua penyanyi kanak-kanak ini ke satu tahap yang lebih baik, maka barisan pelapis untuk mewarisi Dondang Sayang ‘mati’ begitu sahaja,” katanya

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1401
Kongsi :
Previous post Kes sembuh atasi kes harian COVID-19
Next post Lebih 17 juta populasi negara lengkap divaksin
Ubah saiz-+=