Sorting by

×

Semarak cinta perkukuh institusi keluarga

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

AYER KEROH 21 Dis. – Bagi memastikan nilai masyarakat negeri ini terus harmoni dan sejahtera, pengukuhan institusi keluarga dilihat sebagai antara faktor penting dalam mewujudkan generasi yang bertanggungjawab demi masa depan negeri dan negara amnya.

Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka, Datuk Mohd Nadzri Abdul Rahman berkata, keharmonian dalam rumah tangga itu sendiri amat penting kerana ia adalah permulaan kepada pembentukan masyarakat yang bertanggungjawab selain menggalakkan pasangan suami isteri Islam terutamanya mengamalkan hukum syarak.

ANTARA peserta yang hadir ketika terlibat dalam sesi kad cinta.

“Amat penting untuk kita mengembalikan, mengekalkan dan mengukuhkan keharmonian rumah tangga dalam melayari bahtera perkahwinan selaras dengan hukum syarak.

“Disebabkan itu pihak Mahkamah Syariah Negeri Melaka sedaya upaya mengadakan program Semarak Cinta Tautan Kasih yang bertujuan menyampaikan maklumat tentang kepentingan kehidupan yang harmoni bagi pasangan suami isteri dan kami berharap agar program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Semarak Cinta Tautan Kasih Tahun 2020 yang disempurnakan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Wira Latipah Omar di Hotel Kobemas, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Abdul Razak Mat Nayan, Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Nor Azman Mohd Nor, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Melaka (JKM) Burhanuddin Bachik serta Pengarah Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Melaka (PPWNM) Mohd Yusri Zainal.

ANTARA gelagat peserta program itu yang terlibat dalam sesi lukisan jiwa.

Sementara itu, Latipah dalam ucapan perasmiannya menyifatkan program sebegini telah beri ruang buat pasangan suami isteri untuk meluangkan masa berkualiti selain menyemarakkan lagi kasih sayang sesama mereka.

“Saya menyeru agar semua peserta dapat merasai seolah-olahnya ini adalah bulan madu kali kedua dan mengharapkan agar semua peserta dapat menggarap peluang demi menyemarakkan lagi rasa cinta yang telah lama terbina melalui pengisian program-program yang telah disediakan.

“Program ini dapat memberi peluang mencipta kenangan baharu antara suami isteri dan meluangkan masa berkualiti untuk pasangan berkomunikasi kerana pasangan suami isteri yang selalu sibuk dengan kerjaya dan tugasan masing-masing.

“Program sebegini adalah usaha murni daripada kerajaan negeri dalam mengeratkan dan memperkukuhkan institusi kekeluargaan,” katanya.

Antara pengisian slot yang dimuatkan dalam program tersebut melibatkan sesi ‘candle light dinner’, sesi kad cinta kita, sesi ikrar cinta kita, sesi lukisan jiwa serta turut dianjurkan anugerah pasangan romantis dan anugerah pasangan ideal.

Views:

883
Kongsi :
Previous post MUFC kekalkan 70 peratus muka lama
Next post Banjir di pantai timur makin buruk, jumlah mangsa kini melebihi 9,000
Ubah saiz-+=