SEMANGAT SETIA KAWAN ANTARA KAUM AKAN TERUS DIPERKUKUH
TANJUNG BIDARA 16 November – Semangat setiakawan antara kaum wujud sejak zaman kemerdekaan akan terus diperkukuhkan bagi memastikan kestabilan dan perpaduan dapat dinikmati seluruh rakyat Melaka.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, perpaduan antara kaum perlu terus menjadi pegangan kerana ia merupakan kunci utama dalam mengecapi keharmonian dan kesejahteraan rakyat seterusnya negara.
Menurutnya, semangat bersama-sama meraikan perayaan tanpa mengira kaum atau fahaman membuktikan penyatuan perpaduan dijalin sejak sekian lama kekal utuh hingga ke hari ini.
“Semangat perpaduan dalam kalangan kita akan memberikan satu kekuatan untuk mengembalikan kegemilangan negeri ini.
“Dalam meniti arus kemodenan semakin pesat, sering kali kita mendengar berita-berita terhadap ancaman perpaduan. Tidak dinafikan, terdapat segelintir pihak yang sengaja menggugat dan memecahbelahkan kita dengan isu-isu sensitif sehingga mengundang perselisihan.
“Justeru, suka saya berpesan agar seluruh rakyat Melaka agar tidak mudah terpengaruh dengan anasir-anasir yang membawa hasutan, sebaliknya tetapkan pendirian untuk menolak sebarang bentuk diskriminasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Deepavali Peringkat Parlimen Masjid Tanah diadakan di Villa D’Acqua, Masjid Tanah, malam tadi.
Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah serta tetamu lain.
Program diadakan itu berlangsung dalam suasana meriah dengan kehadiran kira-kira 5,000 orang tetamu daripada pelbagai kaum bagi bersama-sama meraikan sambutan perayaan pesta cahaya.
Sambutan bertambah meriah dengan kehadiran artis terkenal Santesh yang turut mendendangkan single Bahasa Melaysia pertamanya, Amalina serta beberapa lagu lain.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.