Sorting by

×

Semangat merdeka Orang Asli Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

ASAHAN 30 Ogos – Semangat Kemerdekaan masyarakat Orang Asli di negeri ini tidak pernah luntur apabila tiga perkampungan masyarakat itu bergabung bagi meraikan sambutan Hari Kebangsaan, hari ini.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, sambutan itu melibatkan masyarakat dari Kampung Orang Asli Lubok Bandung, Kampung Orang Asli Bukit Seraya dan Kampung Orang Asli Gapam Baru.

“Hari istimewa ini kita berkampung dengan ‘Orang Kita’ (Orang Asli) untuk meraikan Hari Kebangsaan Ke-66, secara jujur ini satu kelainan buat diri saya dan sambutannya sangat meriah.

“Kita nampak masyarakat Orang Asli di sini memahami apa itu erti kemerdekaan dan ia perlu disambut dengan meriah.

“Kemerdekaan bukan hanya tergolong kepada satu kaum, tetapi melibatkan pelbagai kaum dan kita perlu meraikannya sama rata,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Sambutan Kemerdekaan Bersama Orang Kita (Orang Asli) anjuran Persatuan Kebajikan Muslimah Melaka di Perkampungan Orang Asli Gapam Baru di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Persatuan Kebajikan Muslimah Melaka, Hamidah Abdul dan lain-lain kenamaan.

Jelas Kalsom, Kerajaan Negeri sentiasa mengutamakan pembangunan masyarakat Orang Asli bagi memastikan mereka tidak ketinggalan.

“Kerajaan Negeri sentiasa membuat pembaharuan agar golongan ini tidak dipinggirkan, malah sentiasa adakan program pendidikan, keagamaan dan kemasyarakatan untuk mereka.

“Masyarakat ini sentiasa di hati kita, walaupun sambutan ini tidak besar, tetapi kehadiran lebih 500 tetamu membuktikan mereka sangat bermuafakat dan saling memberi sokongan setiap kali ada program,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1150
Kongsi :
Previous post Melaka hasrat wujudkan muzium maya
Next post 36 banduan bebas sehari sebelum merdeka
Ubah saiz-+=