Sorting by

×

SEMANGAT MERDEKA ANAK MUDA MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 2 September – Meskipun berlatih dalam masa amat terhad, semangat jiwa merdeka membakar semangat anak muda Melaka untuk memberikan yang terbaik, sekali gus menjayakan persembahan khas Sambutan Hari Kebangsaan 2024 Peringkat Negeri Melaka pada 31 Ogos lalu.

Pengarah Persembahan Khas Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka Ezlina Alias, memuji kesungguhan dan komitmen ditunjukkan peserta persembahan membabitkan 470 murid serta pelajar sekolah sekitar negeri ini.

Ezlina yang juga Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka berkata, kekangan masa akibat sesi persekolahan menyebabkan peserta hanya berpeluang berlatih pada hujung minggu.

“Latihan intensif dijalankan selama dua minggu sahaja, alhamdulillah meskipun berdepan kekangan masa persembahan mereka pada sambutan tersebut sangat menarik dan bertenaga.

“Saya berbangga dengan kesungguhan anak-anak ini, terima kasih juga kepada Kerajaan Negeri kerana memberi kepercayaan kepada JKKN Melaka menguruskan persembahan kali ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata, Persembahan khas itu turut melibatkan 70 penari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Koir Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Melaka (120 orang), 50 penari Artis Budaya Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Briged Seni Melaka serta Institut Warisan Melaka (INSWA).

Menurut Ezlina sambutan kali ini menampilkan kelainan dengan membawa artis jemputan Amir Masdi mempersembahkan nyanyian lagu berjudul ‘MADANI Jiwa Merdeka’ yang merupakan lagu tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

“Selain itu persembahan kali ini juga diserikan lagi dengan konsep berwarna-warni menerusi persembahan gabungan tradisonal dan budaya oleh pelbagai kaum,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

754
Kongsi :
Previous post JIWA KOMUNITI MADANI PUPUK KEBERSAMAAN
Next post POGHUT CUP DIANGKAT JADI ACARA TAHUNAN
Ubah saiz-+=