Semangat kembali ke sekolah
TELOK MAS 8 Mac – Selepas hampir dua bulan sesi persekolahan 2021 tertangguh berikutan peningkatan mendadak kes COVID-19, murid Tahun Tiga hingga Enam lebih bersemangat dan tidak sabar memulakan hari pertama persekolahan secara bersemuka hari ini.
Keterujaan murid jelas terpancar di wajah masing-masing, malah Melaka Hari Ini (MHI) difahamkan ada antara mereka bangun seawal jam 5.30 pagi tidak sabar untuk bersua muka dengan guru dan rakan sekolah.
Tinjauan di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Temu mendapati ibu bapa mula menghantar anak-anak seawal jam 6.30 pagi dan rata-ratanya menunggu di luar pagar sekolah sehingga kelibat anak-anak hilang dari pandangan.
Wardah Alwi, 41, berkata anak ketiganya, Nur Bahiah Abdul Rahman yang kini memasuki Tahun Enam bangun seawal jam 5.30 pagi tanpa perlu dikejut untuk memulakan sesi persekolahan.
Katanya, keterujaan turut sama dirasai anak keempatnya, Nur Zahirah, 10, yang menghitung hari untuk memulakan persekolahan sebaik Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Radzi Md Jidin mengumumkan tarikh mula persekolahan.
“Kakak yang umur 12 tahun punya bersemangat hendak pergi sekolah hari ini, bangun paling awal jam 5.30 pagi.
“Si adik pula asyik bertanya bila hendak mula persekolahan.
“Alhamdulillah, sesi persekolahan mula dibuka dan saya tidak perlu risau pembelajaran sua muka bersama guru kerana itu lebih baik untuk mendidik pelajar,” katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan.
Perasaan sama disuarakan Siti Haliza Majid, 34, yang masih menunggu di luar pagar sekolah meskipun anaknya, Nur Arisa Nabihah Saifon, 9, sudah memasuki kelasnya.
“Kalau dulu, ibu bapa boleh masuk tengok anak-anak masuk ke kelas sekarang ini hanya mampu melihat dari luar sahaja.
“Jika tahun lepas kakak Nur Arisa, Nur Alia Nabilah boleh tengok-tengokkan adik tetapi tahun ini dia sudah memasuki Tingkatan Satu.
“Bagaimanapun, Nur Arisa memang tidak sabar untuk memulakan sesi persekolahan dan tidak sabar bertemu guru dan rakan-rakan sekolah yang sudah lama tidak ketemu,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknikal dan Vokasional, Sains dan Inovasi) negeri, Datuk Noor Effandi Ahmad berkata, seramai 54,942 murid Tahun Tiga hingga Enam melibatkan 238 SK negeri ini memulakan sesi persekolahan hari ini.
Katanya, daripada jumlah itu, 14,360 terdiri daripada murid Tahun 3 manakala Tahun Empat seramai 13,907 murid.
“Bagi Tahun Lima, seramai 13,328 murid manakala Tahun Enam seramai 13,347 murid memulakan sesi persekolahan hari ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.