Semangat Hadilyn bantu bangunkan Akademi Angkat Berat Nyalas
KESANG 28 Julai – Selepas mengakui terhutang budi dengan orang Jasin, Melaka jaguh angkat berat Filipina, Hidilyn Diaz yang merangkul pingat emas dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 kelmarin menyatakan kesediannya membantu Melaka membangunkan Akademi Angkat Berat di Nyalas, Jasin.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Pembangunan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) Ahmad Janius Abdullah, di sini, hari ini yang mendapat perkhabaran itu daripada atlet berusia 30 tahun itu sendiri kepadanya.
“Malah dalam sidang media di sana (Tokyo) Hidilyn sendiri memaklumkan dia akan bantu bangunkan. Sebelum ini pun dia dah tengok keadaan di Akademi Angkat Berat Sekolah Rendah di Sekolah Kebangsaan (SK) Nyalas.
“Insya-Allah, ianya akan menjadi realiti dan kita harap beliau (Hidilyn) akan berada bersama untuk menjadi jadi role model kepada adik-adik di akademi tersebut,” katanya ketika ditemui media di rumahnya di Batu 19, Kampung Kesang Tua, di sini hari ini.
Terdahulu, ruang garaj rumah Ahmad Janius yang juga Naib Presiden PABM menerima kunjungan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam selepas ianya tular yang menjadi tempat latihan jaguh angkat berat Filipina itu sehingga meraih pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020, kelmarin.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai merangkap Penyelaras DUN Bemban, Datuk Hasan Abd Rahman.
Mengulas lanjut, Ahmad Janius berkata, Melaka sememangnya berpotensi untuk dibangunkan sebuah akademi latihan angkat berat kerana pernah melahirkan atlet angkat berat sehingga ke peringkat Sukan Malaysia (SUKMA).
“PABM juga telah mengenal pasti sebidang tanah milik kerajaan Persekutan seluas kira-kira tiga ekar (1.2 hektar) tidak jauh daripada Akademi Angkat Berat SK Nyalas yang boleh dipindahkan ke situ daripada akademi sedia ada sejak 2019 di SK Nyalas.
“Sekarang ini tanah itu di bawah seliaan Jabatan Pertanian Melaka dan kita dah berhubung dengan mereka untuk dipanjangkan cadangan ini kepada Majlis Sukan Melaka atau Majlis Sukan Negara (MSN).
“Saya berharap usaha ini dapat dilaksanakan kerana untuk Melaka sahaja, kita telah ada kira-kira 30 atlet angkat berat berusia antara 11 hingga 13 tahun,” katanya.
Isnin lalu Hidilyn mencuri tumpuan peminat sukan Malaysia kerana melakukan persiapan Olimpik di Jasin, Melaka sekali gus mencipta sejarah buat Filipina apabila menjadi atlet pertama meraih pingat emas Olimpik buat negara itu menerusi acara wanita 55 kilogram (kg).
Hidilyn melakukan angkatan terakhir 127 kg sekali gus menafikan pemegang rekod dunia dan juga bekas pemenang pingat emas Olimpik Rio 2016 dari China, Liao Qiuyun.
Bintang angkat berat kelahiran Zamboanga, Filipina itu ‘berkampung’ di Melaka sejak 16 September tahun lalu, apabila terkandas di Malaysia sejak Januari tahun lalu, berikutan pandemik COVID-19.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.