Semangat berniaga tidak dimamah usia
LENDU 23 November – Meskipun sudah bergelar nenek, Zaleha Tambi Adam, 62, tidak kekok bersama-sama anak muda untuk mendalami ilmu keusahawanan digital menggunakan platform media sosial.
Malah dia juga tidak malu untuk bertanya soalan kepada peserta lain yang turut bersamanya mengikuti Mini Karnival Usahawan Program Menjana Pendapatan Berniaga Tanpa Kos dan Kelas TikTok anjuran Japerun Lendu di Dewan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Masjid Tanah, di sini, baru-baru ini.
Baginya, usia bukan penghalang untuk menuntut ilmu kerana apa dilakukan adalah mengikut sunnah junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang turut aktif dalam bidang perniagaan.
“Arwah ibu juga ada berpesan supaya saya berniaga, jadi sejak setahun lalu saya mula berniaga secara kecil-kecilan dengan menjual inai, untung tidak bersar tidak mengapa asalkan berniaga.
“Setakat ini pelanggan adalah dalam kalangan kenalan dan jiran-jiran sahaja, jadi saya ambil peluang mengikuti kelas ini untuk perkasakan lagi pengetahuan dalam bidang keusahawanan digital,” katanya ketika ditemui pada program itu.
Bekas tenaga pengajar di Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu Melaka yang bersara sejak empat tahun lalu berkata,, niatnya berniaga bukan kerana mahu mencari kekayaan.
“Kalau untuk tampung kehidupan saya sudah ada pencen, jadi keuntungan hasil berniaga ini saya gunakan untuk beri makan kucing dan anjing terbiar.
“Saya adalah pencinta haiwan jadi boleh kata setiap hari saya bersama anak akan keluar untuk beri kucing dan anjing terbiar makan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.