Semangat baharu bola sepak Melaka
AYER KEROH 4 Mei – Pelantikan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MAFA) disambut baik peminat sukan negeri ini.
Rata-rata penyokong berharap perubahan itu bakal membuka lembaran baharu buat skuad Hang Tuah.
Penyokong Melaka, Hermy Rahim, berkata, pelantikan Ketua Menteri ke-13 itu diharap dapat mengembalikan semula bola sepak Melaka ke saingan liga teratas berbanding sekadar beraksi di Liga M3 pada masa ini.
Katanya, kebanyakan penyokong terlalu merindui untuk memberi sokongan kepada pasukan bolasepak Negeri Melaka beraksi di stadium.
“Selaku penyokong bola sepak Melaka dan anak jati Melaka, saya melihat pengambilalihan Ketua Menteri sebagai presiden satu perkara baik.
“Harapan kami sebagai ‘pemain ke-12’ adalah mahu melihat Melaka kembali beraksi di Liga Super,” katanya yang juga Pengasas Liga Sosial Lembah Klang ketika dihubungi Melaka Hari Ini.
Dalam pada itu, nada sama turut disuarakan seorang lagi penyokong Melaka yang juga ahli Ultras Malaysia, Muhammad Faris Abd Aziz.
Menurutnya, presiden baharu MAFA itu diharap dapat memberi semangat baharu kepada penyokong bola sepak Melaka.
“Kami sebagai penyokong, sebenarnya rindu nak pergi ke stadium, terlalu rindu, rindu mahu laungkan kata-kata semangat untuk pasukan, namun dengan apa yang terjadi sebelum ini merudumkan semangat kami.
“Kami berharap apabila Datuk Seri Ab Rauf ambil alih, semua isu sebelum ini dapat diselesaikan dan seterusnya memacu kegemilangan bola sepak Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.